‘Kalau tahniah pemenang pun salah di mata ustaz susahlah’ – Elvina
PELAKON Datin Elvina Mohamad menyelar kenyataan Pencetus Ummah (PU) Syed Bakri Al-Yahya yang mempertikai segelintir pihak yang berbangga atas kemenangan aktres Tan Sri Michelle Yeoh di Anugerah Akademi (Oscar) baru-baru ini.
Elvina atau nama sebenarnya Norzalina Mohamad berkata, bukan satu kesalahan sekiranya sekadar mengucapkan tahniah kepada aktres Hollywood kelahiran Malaysia itu yang mengungguli trofi Pelakon Wanita Terbaik.
“Kalau tahniahkan pemenang pun salah di mata ustaz susahlah ustaz oii! Takda apa pun yang nak dihairankan, dah orang tu menang, kita ucaplah tahniah,” tulisnya dalam hantaran di Insta Story.
Pada masa sama, pelakon drama Takdir Yang Tertulis itu mempersoalkan segelintir golongan pendakwah yang dilihat sengaja mendiamkan diri apabila membabitkan isu dalam kalangan mereka.
“Kalau para-para PU/DA’I/Ustaz buat hal, buat masalah takda pulak ustaz nak keluar kenyataan pape. Tau pulak sonyap!,” ujarnya sambil meletakkan tanda pagar ‘menjengkelkan’.
Semalam, Syed Bakri atau lebih dikenali sebagai PU Syed menegur sikap segelintir pihak yang berbangga dan mengucapkan tahniah atas kemenangan Michelle di Anugerah Oscar.
Katanya, orang ramai tidak seharusnya berbangga dengan sesuatu yang tidak memberikan manfaat kepada urusan agama Islam.
“Apa dibangga dengan anugerah Oscar? Membanggakan Malaysia? Apa yang perlu dibanggakan sangat tu?
“Kita tidak boleh berbangga dengan sesuatu yang tidak bermanfaat kepada urusan agama. Biarlah mereka nak berbangga dengan kejayaan itu tidak kepada mereka yang beriman,” tulisnya di hantaran Facebook, semalam.
Pada acara yang berlangsung di Dolby Theatre, Los Angeles, Ahad lalu, Yeoh, 61, merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik menerusi lakonannya dalam filem Everything Everywhere All At Once. – Malaysiapost