Kedah lulus Enakmen Anti Lompat Parti

Kedah lulus Enakmen Anti Lompat Parti

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Kedah sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah Darul Aman (Pindaan 2023) berkaitan larangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melompat parti.

Keputusan itu diumumkan Speaker DUN Kedah, Datuk Juhari Bulat selepas proses pengundian RUU dijalankan pada Persidangan DUN Kedah, hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (PN-Jeneri) mengemukakan usul pindaan itu bagi bacaan kali pertama dan kedua serta disokong oleh Datuk Dr Mohd Hayati Othman (PN-Tokai).

RUU berkenaan sebelum itu dibahas lima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) iaitu, Datuk Zamri Yusuf (PH-Suka Menanti), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Pejuang-Jitra), Mohd Azam Abd Samat (PN-Sungai Limau), Datuk Norsabrina Mohd Noor (BN- Bandar Baharu) dan Datuk Amiruddin Hamzah (Pejuang-Anak Bukit)

Enakmen Anti Lompat Parti itu akan diwartakan pada 1 April ini, selepas diperkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Sebelum ini, RUU Anti Lompat Parti diluluskan secara sebulat suara dan disokong 209 ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada 28 Julai lalu.

Ia kemudiannya diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 31 Ogos lalu serta berkuat kuasa dengan rasmi pada 5 Oktober lalu. – Malaysiapost

Komen