Laporan polis terhadap Muhyiddin zalim, tutup rakyat kritik PM

Laporan polis terhadap Muhyiddin zalim, tutup rakyat kritik PM

TINDAKAN Perdana Menteri atau mana-mana menteri menggunakan jentera kerajaan untuk menghalang sebarang kritikan yang mewujudkan persepsi negatif adalah zalim, tidak mengikut undang-undang dan bertentangan dengan Perlembagaan.

Pengarah Lawyers of Liberty (LFL), Zaid Malek berkata laporan polis dibuat Muhammad Kamil Abdul Munim terhadap Tan Sri Muhyiddin atas dakwaan melakukan fitnah jenayah akan memberi kesan kepada amalan menyuarakan kritikan yang sah terhadap kerajaan.

“LFL berpandangan laporan polis yang dibuat Setiausaha Politik Perdana Menteri sebagai mengejutkan dan tidak demokratik. Jelas, laporan itu tidak boleh dibuat tanpa kebenaran Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kami ingin mengingatkan kerajaan bahawa tugas polis bukan untuk melindungi imej atau reputasi Perdana Menteri mahupun kerajaan pimpinannya. Tugas mereka adalah melindungi orang awam daripada jenayah dan menjaga ketenteraman awam.

“Kerajaan yang matang dan demokratik menjawab kritikan secara terbuka, bukan cuba memenjarakan pengkritik mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zaid turut mempersoal adakah Anwar lupa ketika beliau pembangkang dan berhadapan kes mahkamah, sering menggunakan alasan yang sama digunakan Muhyiddin.

“Adakah Anwar telah lupa ketika era Najib Razak, PH yang menjadi pembangkan ketika itu berdepan dengan siasatan sama kerana mengkritik Najib?

“Adakah Anwar dan gabungan politiknya tidak belajar apa-apa daripada tekanan yang mereka hadapi?” soalnya.

Isnin lalu, Muhammad Kamil, Setiausaha Politik Anwar di Kementerian Kewangan, membuat laporan polis terhadap Muhyiddin atas dakwaan membuat kenyataan fitnah terhadap Anwar.

Laporan itu mengenai dakwaan Muhyiddin dikatakan menjadi mangsa pendakwaan politik terpilih dan salah guna kuasa kerajaan, selepas bekas Perdana Menteri dihadapkan ke mahkamah dan menghadapi tujuh pertuduhan berkaitan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Zaid menambah, laporan fitnah jenayah itu
merupakan kesalahan yang membawa hukuman penjara.

Tegasnya, Anwar sepatutnya menggunakan mahkamah sivil untuk membersihkan namanya daripada dakwaan Muhyiddin.

“Tujuan laporan itu jelas untuk menutup kritikan terhadap Anwar oleh Muhyiddin dan mungkin orang lain juga yang ingin mengkritiknya.

“Jika perdana menteri atau mana-mana pihak dalam kerajaan merasakan dirinya difitnah, jalan yang betul adalah membawanya ke mahkamah.

“Tindakan sama boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak yang mengkritik kerajaan, seterusnya menjadikan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan sebagai tidak bermakna,” katanya. – Malaysiapost

Komen