LCS : SPRM akan lakukan pendakwaan kedua – PM
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan siasatan berhubung isu pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) mesti diteruskan.
Beliau berkata, ia berikutan pendakwaan peringkat awal sebelum ini tidak mencukupi memandangkan ia membabitkan skandal berskala besar dan ketirisan.
Katanya, pendakwaan sebelum ini juga tidak bertindak kepada orang-orang yang lebih utama yang dikatakan terbabit dalam isu perolehan LCS .
Sehubungan itu, beliau sudah menyatakan perkara berkenaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan dipersetujui oleh mereka akan ada pendakwaan peringkat kedua.
“Namun, itu bukan urusan saya untuk mendalami dan bertanya lebih, nanti jika saya buat begitu akan ada tuduhan (yang menyatakan) wujud pendakwaan terpilih.
“Saya tegaskan siasatan LCS ini mesti diteruskan dan tindakan sebelum ini tidak cukup membongkar dan bertindak kepada orang yang lebih utama dikatakan yang terbabit. Biar siasatan diteruskan,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) dalam sesi pertanyaan menteri (MQT) yang ingin mengetahui mengenai pendakwaan kes LCS.
Anwar berkata, beliau setuju bahawa arahan kepada badan penguatkuasa sama ada SPRM mahu pun Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) perlu menyeluruh dan tidak tertumpu kepada mana-mana parti.
Menurutnya, sesiapa saja yang didapati oleh SPRM dan dengan bukti kukuh boleh dikemukakan pendakwaan kepada Peguam Negara.
“Sebab itu kita kena terima pendakwaan dibuat Peguam Negara… ini termasuk kes LCS yang membabitkan beberapa pemimpin Umno.
“Sebelum ini pun, ada Ketua Umno Shah Alam yang didakwa tetapi ini tidak difokuskan,” katanya.
Menurutnya, apabila bercakap mengenai keadilan, beliau menolak segala bentuk kezaliman dan fitnah.
Beliau juga meminta tidak dihukum hanya kerana ada kes pendakwaan membabitkan pemimpin politik tertentu.
“Apabila kita bercakap soal keadilan, kita kena tolak kezaliman dan fitnah, jangan hukum orang tanpa bukti.
“Kalau ada tindakan jangan hukum saya, jangan guna ayat al-Quran untuk hukum saya dan kata saya zalim.
“Yang Berhormat sebagai orang Islam, kita kena bertanggungjawab dan memastikan ada bukti dalam setiap pendakwaan, jangan buat tuduhan menyatakan Anwar campur tangan mendakwa sesiapa, kalau ada bukti nyatakan, kalau tidak ada (bukti) itu zalim namanya (kepada saya)… jangan guna nama agama dan sebut nama saya,” katanya.
Sementara itu, beliau menegaskan arahannya kepada badan penguatkuasa jelas bahawa apa pun tindakan yang diambil perlu berdasarkan fakta dan bukti kukuh. – Malaysiapost