Nak masuk kasino pun kena ikut peraturan pakaian – Peguam
TATACARA berpakaian ketika berurusan di pejabat kerajaan tidak seharusnya menjadi isu berat kerana kebanyakan premis mempunyai peraturan pemakaian tersendiri.
Peguam kanan, Muhammad Hasif Hasan, bantahan yang dibuat segelintir pemimpin terhadap isu tersebut dilihat tidak relevan, melainkan ianya adalah berkaitan dengan keadaan kecemasan.
“Saya membaca berita di akhbar mengenai bantahan segelintir pemimpin terhadap tatacara berpakaian ketika berurusan di pejabat kerajaan.
“Saya faham dalam keadaan lazim, mereka perlu mengikutinya melainkan dalam keadaan kecemasan maka tatacara berkenaan boleh diberi pengecualian atau dilonggarkan.
“Perlu diketahui hatta untuk masuk ke kasino di Genting Highland juga ada peraturan. Pelanggan dilarang memakai seluar pendek, sandal, cermin mata hitam, topi, dan lain lain.
“Jadi kenapa perlu mempertikaikan peraturan yang dibuat bagi mendisiplinkan masyarakat,” soalnya menerusi hantaran di media sosial.
Muhammad Hasif mengulas beberapa insiden tular di media sosial berkenaan individu dilarang berurusan di pejabat kerajaan kerana tidak mengikut etika pemakaian yang sepatutnya dan ‘mencolok mata’.
Baru-baru ini, tular seorang wanita mendakwa dirinya tidak dibenarkan masuk ke Wisma Negeri, Seremban, Negeri Sembilan kerana berseluar pendek atas paras lutut.
Wanita itu mengambil cuti semata-mata untuk menguruskan hal peribadi di premis kerajaan tersebut, namun gagal berbuat demikian akibat pemakaiannya yang tidak menepati syarat.
Berpakaian baju kurung labuh berwarna merah jambu dan seluar hitam pendek atas paras lutut, pemakaian wanita terbabit nyata tidak diterima oleh pihak pengawal keselamatan yang melarangnya untuk berurusan di pejabat.
Pada 30 Januari lalu, seorang wanita bertindak melakukan provokasi terhadap anggota polis hanya kerana tidak berpuas hati selepas tidak dibenarkan masuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang kerana memakai pakaian tidak bersesuaian.
Anggota bertugas mendapati wanita terbabit memakai seluar pendek paras paha (di atas paras lutut) lalu menasihatinya memakai pakaian bersesuaian jika mahu berurusan di premis kerajaan.
Wanita itu bagaimanapun tidak berpuas hati dan enggan mengikut arahan serta memprovokasi anggota bertugas. – Malaysiapost