Pahang umum Kenaikan Gaji Tahunan RM100
KERAJAAN Pahang bersetuju memberi Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) Tambahan Khas tahun 2023 berjumlah RM100 kepada penjawat awam negeri itu.
Kenaikan itu selaras Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2022 di mana Kerajaan Persekutuan meluluskan pemberian itu kepada Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan dalam Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional berkuat kuasa 1 Januari 2023.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata oleh yang demikian, mengambil kira peranan penting penjawat awam negeri yang telah memberikan perkhidmatan kepada rakyat Pahang, kerajaan negeri bersetuju menerima pakai Pekeliling Perkhidmatan itu.
Katanya, pemberian KGT Tambahan Khas itu tidak akan menjejaskan Pergerakan Gaji Tahunan pegawai bagi tahun 2023 dan tahun berikutnya serta tidak mengubah tarikh pergerakan gaji pegawai.
“Pemberian ini juga akan melibatkan implikasi kewangan tahunan sebanyak RM9.6 juta kepada kira-kira 8,000 penjawat di bawah pentadbiran Kerajaan Pahang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berharap dengan pemberian KGT Tambahan Khas itu, penjawat awam negeri Pahang dapat mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan demi kesejahteraan dan kemakmuran negeri ini. – Malaysiapost