Pertemuan dengan PM positif – MB T’ganu
MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berlangsung dalam suasana terbuka dan positif.
Pertemuan empat mata itu berlangsung di pejabat Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya.
“Pelbagai perkara dibincangkan dengan penuh semangat keterbukaan dan positif, berkait dengan urusan negeri – Persekutuan, program pembasmian kemiskinan, pembangunan, kewangan dan lain lain.
“Mengurus tadbir negeri dan Pusat memerlukan lebih dari “political will” untuk melaksanakan tajdid yang hakiki, untuk melonjakkan minda masyarakat ke arah Maju – Berkat – Sejahtera,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Sementara itu Perdana Menteri dalam reaksinya menerusi perkongsian di Facebook turut mengucapkan terima kasih kepada Ahmad Samsuri.
Anwar berharap hasil pertemuan itu akan memberi manfaat untuk rakyat Terengganu. – Malaysiapost