Program Jom Ziarah gereja ancam perpaduan masyarakat – Chegu Bard
PEMIMPIN Bersatu, Badrul Hisham Shahrin mengajak orang ramai untuk membuat laporan polis terhadap Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh susulan isu program Jom Ziarah gereja.
Beliau mendakwa program anjuran Impact Malaysia, iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang mengajak belia bukan Kristian ke gereja itu mengancam Islam dan perpaduan masyarakat.
“Islam diancam damai dan perpaduan masyarakat diganggu!! Ayuh beramai ramai…Laporan polis ke atas Hannah Yeoh Menteri DAP kerana program ajak pemuda bukan kristian ke gereja,” katanya dalam saluran di aplikasi Telegramnya, hari ini.
Beliau yang juga dikenali dengan panggilan Chegu Bard, berkata Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut memfitnahnya di Dewan Rakyat apabila mendakwa beliau melakukan fitnah terhadap menteri terbabit berhubung isu berkenaan.
“Menteri DAP fitnah saya dengan kata saya fitnah dia, Menteri DAP menipu di Parlimen….Menteri DAP ingat saya takut dengan dia buat laporan polis ke atas saya.
“Saya belum dipanggil polis tapi saya akan ke Balai buat laporan ke atas dia…dan jika polis nak ambil kenyataan atau nak tangkap saya pun saya sedia kerana pertahan agama Islam,” katanya.
Badrul Hisham dijangka akan membuat laporan polis terhadap Hannah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada jam 10.15 pagi esok.
Terdahulu Hannah dalam ucapan penggulungan peringkat jawatankuasa kementeriannya di Dewan Rakyat semalam, memaklumkan program Jom Ziarah yang membabitkan kunjungan ke gereja oleh Impact Malaysia tidak melibatkan belia Islam.
Jelasnya, dakwaan program itu turut melibatkan belia Islam adalah tidak benar.
“Memfitnah bahawa saya menggunakan agensi di bawah KBS untuk tujuan tersebut adalah tuduhan melampau dan mahu menjadikan saya ‘punching bag’ untuk menutup dakwaan salah laku dihadapi pemimpin mereka,” katanya. – Malaysiapost