Reezal bangga puteri sulung ikut jejak politiknya

Reezal bangga puteri sulung ikut jejak politiknya

DATUK Seri Reezal Merican Naina Merican menzahirkan rasa gembira apabila anak perempuan sulungnya, Reena Awliyatul Imani kini megikut jejak langkahnya dalam arena politik.

Penyandang jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu berkata, beliau gembira apabila anaknya itu terpilih sebagai salah seorang Exco Pergerakan Puteri Umno Malaysia bagi penggal 2023-2026 yang berlangsung Sabtu lalu.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Kepala Batas, berkata apa yang lebih membanggakannya adalah pembabitan Awliya dalam politik dan bersama Umno adalah atas pilihan anaknya itu sendiri.

“Alhamdulillah. Tahniah buat anakanda, Reena Awliyatul Imani yang telah dipilih sebagai Exco Pergerakan Puteri Umno Malaysia bagi penggal 2023-2026.

“Tak tergambar rasa gembira sebenarnya apabila puteri sulungku ini berjaya dalam pemilihan ini. Dan lebih bangga lagi, Awliya memilih sendiri untuk bersama-sama dalam perjuangan parti yang banyak jasanya ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Reezal yang juga calon Ahli MKT Umno bagi pemilihan pada 18 Mac ini, berkata beliau tidak berkesempatan untuk ‘kempen’ dan ‘promosi’ Awliya sebagai calon dalam pemilihan kali ini.

“Terbukti Awliya mampu membawa nama dan imej tersendiri dalam meniti tangga kepimpinan parti tercinta ini.

“Pesan saya kepada Awliya, ikhlaskan diri untuk berkhidmat dan kita mula dari bawah. Dari situlah kita bina kekuatan untuk terus jadikan parti ini terus disegani.

“Doa saya bukan sahaja buat Awliya, malah seluruh kepimpinan Pergerakan Puteri Umno Malaysia agar diberi kesejahteraan dalam mengkhidmati rakyat sepanjang masa,” katanya.

Komen