Seleweng sukuk RM596 juta, SPRM tahan 4 individu

Seleweng sukuk RM596 juta, SPRM tahan 4 individu

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat individu bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dalam perjanjian sukuk bernilai RM596 juta bagi melaksanakan projek berkaitan pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Keempat-empat suspek lelaki yang berusia antara 40 hingga 55 tahun itu ditahan lewat petang semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Tiga daripada empat suspek berkenaan direman tiga hari bermula hari ini hingga 17 Mac selepas Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan SPRM untuk reman suspek di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Bagaimanapun, seorang lagi suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM, lapor Berita Harian. 

Memetik sumber, semua suspek terbabit adalah Pengarah, Ketua Pegawai Kewangan dan seorang pemegang saham bagi tiga syarikat terbabit secara langsung dalam membangunkan sistem berkenaan.

“Sukuk itu diuruskan oleh sebuah bank tempatan bagi membiayai projek berkaitan dan semua perbelanjaan dan hasil projek berkenaan perlu dimasukkan ke dalam satu akaun khas yang ditetapkan.

“Namun, akaun khas ini kemudiannya ditukarkan kepada akaun lain yang dipercayai sengaja diwujudkan pada awal 2022 disyaki bagi mengelakkan daripada pembayaran semula prinsipal dan keuntungan kepada pemegang-pemegang sukuk,” katanya. 

Difahamkan, perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat yang dilantik sudah dimeterai pada Julai 2011 dengan tempoh selama 12 tahun. Sukuk ini dijadual mencapai tempoh matang pada Mei 2023.

Tindakan membenarkan syarikat terbabit untuk mewujudkan satu akaun lain dikatakan akan menyebabkan kerugian jutaan ringgit terhadap pemegang sukuk.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan tersebut namun enggan mengulas lanjut. – Malaysiapost

Komen