Tiada adegan panas, lucah dalam filem Pulau – PFM
PERSATUAN Penerbit Filem Malaysia (PFM) menegaskan tiada unsur lucah atau adegan panas yang boleh menyentuh sensitiviti rakyat menerusi filem Pulau yang mula ditayangkan 9 Mac lalu.
Sehubungan itu, Presiden PFM, Panchacharam Nalliah atau Pansha berkata, tidak wajar filem Pulau dikaji semula tayangan seperti permintaan ramai.
Menerusi satu kenyataan, Pansha berkata, pihaknya mewakili Industri Perfileman Tempatan menerusi Jawatankuasa Skim Wajib Tayang, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) berkesempatan menonton filem tersebut.
Katanya, tontonan tersebut selepas penerbit mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF) berpandukan Garis Panduan Penapisan Filem (GPPF) KDN 2010.
“Kami melihat tiada adegan panas dan lucah yang tidak menitikberatkan budaya kesopanan dan kesusilaan sehingga boleh meruntuhkan moral masyarakat seperti dakwaan ramai.
“Malah, Jawatankuasa Skim Wajib Tayang FINAS sudah meluluskan tarikh tayangan umum di pawagam pada 9 Mac depan.
“Jika diikutkan banyak kandungan lebih lucah atau panas boleh dilihat dalam platform Over The Top (OTT), media sosial atau internet secara terbuka tanpa sekatan hingga boleh ditonton tanpa mengira umur,” katanya.
Pansha berkata, pihaknya percaya tahap profesionalisme Jawatankuasa LPF yang memberi kelulusan terhadap filem Pulau dengan sewajarnya dan mohon tidak perlu dikaji semula.
Sebelum ini, karya terbitan WebTVAsia dengan kerjasama My Way Pictures dan Filmforce Studio itu mencetuskan kontroversi kerana didakwa mengandungi adegan panas dan lucah.
Filem yang menampilkan Amelia Henderson, Alif Satar, Ikmal Amry, Joey Leong, Sanjna Suri, Pui Yi dan ramai lagi itu terpalit kontroversi selepas treler yang ditayangkan di YouTube, memaparkan adegan-adegan panas yang tidak sesuai dengan norma budaya Malaysia. – Malaysiapost