Tidak lebih 20 aduan diterima dalam pemilihan sayap Umno

Tidak lebih 20 aduan diterima dalam pemilihan sayap Umno

TIDAK lebih 20 aduan diterima Jawatankuasa Pemilihan Umno (JPU) berkaitan pelanggaran tata etika dalam   pemilihan sayap Umno, minggu lalu. 

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya telah meminta lembaga disiplin melakukan siasatan terperinci dan teliti serta berlaku adil bagi memuaskan hati semua pihak.

“Tiada masalah yang besar. Mana-mana bahagian yang terlalu bermasalah, pemilihan semula akan dilakukan.

“Saya berharap tiada apa-apa masalah timbul dan saya percaya bahawa pihak Ibu pejabat akan melakukan yang terbaik untuk melancarkan proses pemilihan ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pengenalan Calon-Calon Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno peringkat Negeri Terengganu yang merupakan destinasi pengenalan terakhir di Kuala Terengganu, hari ini

Ahmad Zahid menjelaskan, semua calon yang bertanding diberi layanan sama rata oleh JPU sepanjang proses kempen memperkenalkan diri.

“Dalam pemerhatian saya, majlis ini ternyata menzahirkan kelainan. Apabila MKT telah membuat keputusan bahawa Ibu Pejabat Umno perlu menganjurkan majlis ini dan perlu dihadiri oleh calon-calon.

“Sekiranya ada calon yang tidak dapat hadir, nombor dan nama mereka akan tetap terpapar di layar.

“…yang paling penting bagi saya ialah bagaimana calon itu mempertahankan diri atau muka baharu sama ada dikenali atau tidak diberikan layanan secara sama rata,” katanya. 

Pada masa sama, Timbalan Perdana Menteri itu berhasrat untuk mengukuhkan kerjasama antara parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan yang terbina hari ini.

“Kita berhasrat untuk mengukuhkan Kerajaan Perpaduan. Daripada lima parti gabungan ini, terdapat 20 parti-parti politik dari Perlis hingga ke Sabah dan Sarawak.

“Apa yang lebih penting, kita perkukuhkan semula UMNO untuk berdepan dengan segala situasi politik di masa akan datang,” katanya. – Malaysiapost

Komen