Tok Mie ingin kembalikan Umno sebagai wadah perjuangan orang Melayu

Tok Mie ingin kembalikan Umno sebagai wadah perjuangan orang Melayu

BEKAS Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Sohaimi Shahadan membuat kemunculan semula dengan menawarkan diri bertanding dalam Pemilihan Umno 2023 pada 18 Mac ini untuk jawatan yang pernah dipegangnya bagi penggal 2013-2018.

Menurutnya, beliau membuat keputusan itu selepas melihat keadaan Umno pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang diibaratkan sebagai ‘cedera parah’.

“Setelah melihat kepada keputusan PRU-15 dalam keadaan Umno yang cedera parah, sukar dan hampir-hampir lumpuh.

“Maka saya mengambil keputusan untuk kembali dan menawarkan diri untuk bertanding sebagai Ahli MKT.

“Dan berada dalam saf kepimpinan parti dan berjuang mengembalikan keyakinan rakyat dan menjadikan Umno ini sebagai wadah perjuangan orang Melayu,” katanya dalam satu video dimuat naik di laman Facebooknya.

Lebih mesra dengan panggilan Tok Mie, beliau adalah calon nombor 76 bagi jawatan MKT Umno bagi Pemilihan Umno 2023 pada Sabtu ini.

Dalam Umno, beliau pernah memegang jawatan Ahli MKT Umno bagi penggal 2013-2018 dan juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Selayang bagi tempoh 2008-2013 selain Exco Pemuda Umno Malaysia bagi tempoh sama.

Selain itu, beliau juga menjawat jawatan sebagai Naib Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) pada 2014-2019 dan Presiden Dewan Perdagangan dan Industri Asean (DPIA) pada 2013-2018. – Malaysiapost

Komen