Umno masih ada ramai pemimpin yang ‘perform’ – Shahaniza

Umno masih ada ramai pemimpin yang ‘perform’ – Shahaniza

KETUA Umno Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin menafikan pemimpin yang masih berada dalam Umno ketika ini bukan dalam kalangan mereka yang menunjukkan prestasi terbaik.

Sebaliknya bekas Exco Kerajaan Pahang itu menegaskan, ramai pemimpin yang masih berada dalam Umno ketika ini telah menunjukkan rekod cemerlang sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat, begitu juga ketika dalam kerajaan Persekutuan mahupun negeri.

Beliau juga menyatakan semua 95 calon yang menawarkan diri bertanding jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) serta tujuh calon Naib Presiden Umno pada pemilihan parti kali ini, terdiri daripada mereka telah terbukti menunjukkan prestasi cemerlang sebelum ini.

Beliau memberi contoh, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang bertanding jawatan Naib Presiden Umno, telah memimpin Pahang dengan begitu cemerlang termasuk meningkatkan hasil negeri.

“Ini bukan nak kempen untuk MB, beliau dalam tempoh 22 bulan memimpin kerajaan negeri (ketika pentadbiran Pakatan Harapan di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad), telah membuktikan Pahang boleh menjadi kerajaan yang berdiri sendiri.

“Saya menjadi Exco ketika itu, kami tak sembah Perdana Menteri Menteri Kewangan (untuk mendapatkan bantuan)… daripada hutang yang banyak seperti disebut pembangkang, akhirnya hasil lebih RM1 bilion.

“Jadi kita ada ramai pemimpin yang ‘perform’… begitu juga pemimpin-pemimpin lain dalam Umno sekarang, boleh semak ‘track record’ mereka,” katanya dalam program Wacana anjuran Sinar Harian malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung dakwaan kononnya beberapa pemimpin yang dipecat daripada Umno sebelum ini adalah mereka yang mempunyai rekod kerja cemerlang, berbanding pemimpin yang masih berada dalam parti.

Shahaniza adalah antara tujuh calon wanita yang bertanding jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dalam pemilihan pada 18 Mac ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, nilai kesetiaan adalah perkara paling penting untuk Umno kembali menjadi sebuah parti yang kukuh, selepas berdepan prestasi kurang baik pada Pilihan raya Umum lalu.

“apa yang paling utama bagi saya adalah kesetiaan kepada dalam parti. Nilai ini turut terpakai dalam mana-mana organisasi atau NGO.

“Malah jika tak setia kepada negara, apa akan jadi? Dalam agama, kalau tak setia, akhirnya akan murtad… kesetiaan kepada pemimpin atau walak adalah perkara yang dituntut dalam Islam,” katanya.

Mengenai pemilihan parti kali ini, Shahaniza berharap perwakilan akan memilih pemimpin yang boleh menjadi ‘team player’ yang baik kepada Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Pilihlah (calon) yang terbaik dan relevan… ini ingatan kepada diri saya sendiri juga, jika terpilih jadilah ‘team player’ yang baik, survival Umno terletak pada kerja berpasukan yang baik,” katanya lagi. – Malaysiapost

Komen