Yasin kurus sebab tiroid buka tak makan
PENYANYI dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman menjelaskan berat badannya susut bukan kerana tidak diberi makan ketika dalam penjara, sebaliknya dia kini menderita penyakit tiroid sejak lima bulan lalu.
Dia yang lebih dikenali Yasin, 48, berkata, disahkan menghidap penyakit itu pada November lalu dan berat badan turun sehingga 18 kilogram (kg).
Ditemui selepas sebutan kesnya di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini, penyanyi itu tidak mahu orang ramai beranggapan pihak Jabatan Penjara tidak memberinya makan atau mengabaikan kebajikannya kerana perubahan badannya.
“Seperti semua dapat lihat, saya kurus sekarang. Semasa masuk penjara dulu berat badan saya 66kg dan sekarang 48kg.
“Saya tidak mahu ada orang berandaian penjara tidak beri makan. Penjara banyak makanan sehingga melimpah ruah dan sebenarnya ramai saja banduan yang gemuk.
“Saya derita tiroid selama lima bulan tapi Alhamdulillah dengan bantuan dan pertolongan pihak penjara, saya mendapat ubat-ubatan serta menjalani rawatan susulan setiap bulan,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Selain itu, Yasin berkata, dia gembira dan bersyukur kerana diberikan layanan yang baik oleh pegawai penjara serta banduan lain.
Sementara itu, peguam bela Yasin, Ariff Azami Hussein berkata, keadaan kesihatan terkini anak guamnya itu akan turut dimasukkan ke dalam dokumen representasi keempat, yang bakal difailkan dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, beliau berkata, kandungan lanjut representasi itu tidak boleh didedahkan, tetapi ia bertujuan memohon pihak pendakwaan mengkaji semula dan mempertimbangkan terma munasabah bagi kepentingan Yasin serta kepentingan awam.
“Kita (pembelaan) tidak meminta sesuatu yang luar biasa atau ‘miracle’ tapi yang ada asas dan boleh dibenarkan undang-undang.
“Kita tetap yakin walaupun ditolak kali ketiga, kita akan masukkan lagi yang keempat mungkin dengan sedikit perubahan terma.
“Kita tetap optimis kes ini boleh diselesaikan tanpa melalui perbicaraan kerana Yasin adalah kategori tertuduh unik kerana seorang pesakit dan boleh diberikan peluang,” katanya.
Yasin didakwa menggunakan dadah jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di pejabat narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada 11.05 malam, 24 Mac 2022.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.
Yasin turut didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah dan daripadanya kanabis, di kediamannya di Persiaran Surian, Kota Damansara, pada 5.30 petang, tarikh sama.
Pertuduhan memiliki dadah mengikut Seksyen 6 ADB dan boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh disebat tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan menanam pokok kanabis, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6B (1) (a) ADB dan boleh dipenjara seumur hidup serta sebat tidak kurang enam sebatan, jika sabit kesalahan. – Malaysiapost