Ahli Bersatu tanding Ketua Umno Bahagian Bachok?

Ahli Bersatu tanding Ketua Umno Bahagian Bachok?

Aiman Hanif

CALON yang menawarkan diri untuk merebut jawatan Ketua Umno Bahagian Bachok, Datuk Yusri Che Noh didakwa masih lagi berstatus ahli parti Bersatu.

Perkara itu didedahkan oleh seorang ahli Umno Bachok yang enggan namanya disiarkan.

Dia mendakwa Yusri merupakan ahli Bersatu yang mana keahliannya adalah “seumur hidup”.

Bahkan katanya, perkara itu telah diadukan kepada Jawatankuasa Pemilihan Umno (JPU), namun jawapannya agak mendukacitakan.

“Bagaimana individu yang masih lagi berstatus ahli Bersatu dibenarkan bertanding bagi merebut jawatan ketua bahagian Umno.

“Aduan telah dikemukakan, namun JPU membenarkan individu berkenaan bertanding. Apa asas yang mereka gunakan.

“Sedangkan mereka yang keluar parti dan kembali menyertai Umno pun ada tempoh masa jika mereka ingin bertanding jawatan dalam Umno.

“Inikan pula individu yang masih lagi status sebagai ahli Bersatu,” katanya kepada Malaysiapost.

Jawatan Ketua Umno Bahagian Bachok ketika ini disandang Datuk Mohd Zain Yassim.

Mohd Zain merupakan calon BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) lalu.

Yusri yang juga ahli perniagaan mencabar Mohd Zain bagi merebut jawatan terbabit pada pemilihan Umno kali ini.

Berdasarkan surat JPU yang ditandatangani Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Samad, Yusri dibenarkan bertanding meskipun didakwa masih berstatus ahli Bersatu.

Sementara itu, hasil carian Malaysiapost mendapati Yusri masih lagi memegang status keahlian sebagai ahli Bersatu dengan nombor keahlian 00154222.

Status keahlian Yusri disahkan pada Mei 2018 dengan keahlian cawangan Kampung Tok Jawa, Bachok, Kelantan.

Malaysiapost sedang berusaha mendapat respon Yusri serta JPU.- Malaysiapost

Komen