Chegu Bard gesa PDRM, pihak berkuasa agama Islam siasat Impact Malaysia dan Hannah
PEMIMPIN Bersatu, Badrul Hisham Shahrin menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa agama Islam menyiasat segera kegiatan Impact Malaysia iaitu agensi dibawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang didakwa menganjurkan program Jom Ziarah gereja.
Beliau turut menggesa pihak berkuasa menyiasat peranan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dalam program berkenaan.
Gesaan itu dibuat dalam laporan polisnya di Ibu Pejabat Pilis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Berdasarkan laporan polis berkenaan, Badrul Hisham yang juga dikenali dengan panggilan Chegu Bard, berkata beliau telah melihat satu risalah digital yang dipercayai dikeluarkan oleh Impact Malaysia di laman Instagram pada 14 Mac lalu.
“Adalah jelas risalah itu mencatatkan seperti berikut: “Jom Ziarah Gereja. Belum pernah memasuki gereja sebelum ini? Ingin tahu tentang Kristian? Ingin belajar apakah persamaan dan perbezaan antara agama? Jom Ziarah Gereja,” katanya.
Menurutnya, risalah itu memaklumkan program Projek Artikel 11 adalah bagi mendedahkan belia kepada agama yang berbeza dengan aktiviti lawatan dan sukarelawan untuk yang lebih inklusif, serta terbuka kepada belia bukan Kristian yang diadakan di gereja Out Lady Lourdes, Klang pada 18 Mac ini.
“Adalah jelas butiran di risalah digital berkenaan menyalahi Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan dibaca dengan Enakmen Jenayah Syariah Negeri-negeri yang melarang perbuatan menyebar atau mendakyah agama selain Islam kepada mana-mana umat Islam.
“Lebih merisaukan saya ialah Menteri KBS ialah Hannah Yeoh, penulis buku ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’ yang menceritakan tentang perjalanan hidupnya sebagai seorang penganut agama Kristian,” katanya.

Badrul Hisham berkata, tanpa berselindung buku berkenaan juga memaparkan bagaimana Hannah menggunakan kedudukan politiknya untuk berdakwah mengenai Kristian.
“Bukan itu sahaja, ketika dia (Hannah) menjadi Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (2018-2020 dimana kementerian itu pernah memberikan dana kerajaan kepada organisasi yang difatwakan haram oleh Mufti Selangor.
“Oleh itu saya mendesak supaya siasatan segera kegiatan agensi Impact Malaysia ini dan juga peranan yang dimainkan Hannah dalam perkara ini.
“Demi perpaduan dan keamanan masyarakat, saya menuntut program Jom ke gereja yang menyalahguna wang rakyat itu wajib dibatalkan,” katanya. – Malaysiapost