Datuk Roy dibebaskan dengan jaminan SPRM
SEORANG ahli perniagaan yang hanya dikenali sebagai ‘Datuk Roy’, hari ini dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas tiga hari direman bermula Selasa lalu.
Datuk Roy ditahan agensi penguatkuasaan terbabit bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
Program berkenaan dilaksanakan ketika pandemik Covid-19, iaitu kesinambungan kepada Program Pembangunan Kontraktor Binaan Bumiputera Berwibawa yang dimulakan pada tahun 1993.
Pembebasan Datuk Roy hari ini dengan jaminan SPRM disahkan oleh peguamnya, Fahmi Abd Moin kepada pemberita.
Menurut Fahmi, Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim membebaskan ahli perniagaan berusia 54 tahun itu selepas pihak SPRM tidak mengemukakan permohonan untuk melanjutkan tahanan reman terhadapnya.
Kata Fahmi, anak guamnya kemudian akan pergi ke SPRM Kuala Lumpur untuk dimaklumkan mengenai perkara berhubung (reman) itu.
“Setakat ini, tiada maklumat bila dia akan dituduh di mahkamah.
“Anak guam saya kemudian akan dibawa ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya dan pihak siasatan akan mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret di sana esok bagi kes lain,” katanya.
Datuk Roy menyerah diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur pada jam 2.30 petang Isnin lalu, sebelum direman selama tiga hari bermula Selasa lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 atas kesalahan menerima rasuah. – Malaysiapost