Dr Akmal infak gaji bantu beli buku sekolah anak-anak asnaf

Dr Akmal infak gaji bantu beli buku sekolah anak-anak asnaf

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau Dr Muhamad Akmal Saleh menginfakkan gajinya sebagai wakil rakyat bulan ini untuk membantu anak-anak golongan asnaf di kawasannya membeli buku menjelang sesi persekolahan yang akan bermula minggu depan.

Ketua Pemuda Umno Malaysia yang baharu itu memahami kerisauan ibu bapa terutama mereka yang tidak berkemampuan dalam menyediakan persiapan persekolahan.

“Teringat dulu zaman sekolah bila nak buka sekolah mak dan ayah orang yang paling risau. Pernah satu ketika dulu, kami terpaksa beli buku secara sikit-sikit dulu sehinggalah mak dan ayah ada duit untuk beli semua buku setelah sekolah dibuka dan biasanya saya akan ‘recycle’ buku yang masih lagi boleh digunakan.

“Pada mana-mana warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau asnaf yang tidak mampu untuk membeli buku anak-anak, boleh maklumkan pada saya, insya-Allah saya infak gaji saya bulan ini untuk bantu belikan buku-buku anak-anak kita ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurutnya, adalah penting untuk kanak-kanak golongan asnaf mendapatkan pendidikan sama seperti anak-anak yang lain.

“Yang penting anak-anak kita ini dapat belajar sama seperti anak orang lain. Kita kongsi rezeki dan kasih sayang bersama,” katanya. – Malaysiapost

Komen