Hasparuddin buat laporan kes penyelewengan penjualan aset milik Umno

Hasparuddin buat laporan kes penyelewengan penjualan aset milik Umno

BEKAS Ketua Pemuda Umno Bahagian Bachok, Hasparuddin Hanafi membuat laporan polis berhubung kes penjualan aset bangunan milik Umno bahagian berkenaan yang didakwa diseleweng.

Laporan tersebut dibuat di Balai Polis Daerah Bachok, jam 3 petang tadi.

Beliau berkata, laporan terbabit dibuat terhadap Ketua, Timbalan dan Bendahari Umno bahagian berkenaan.

Menurutnya, ia melibatkan wang jualan bangunan milik Umno bahagian yang tidak masuk ke akaun parti, sebaliknya ke akaun peribadi.

“Laporan dibuat bagi menyiasat penjualan sebuah bangunan milik Umno di Kedai Jelawat yang wang jualan tidak dimasukkan ke dalam akaun Umno bahagian sebaliknya ke akaun peribadi individu.

“Penjualan tu ok la, tapi kenapa tak masuk ke akaun Umno Bahagian?

“Masuk ke dalam akaun salah seorang pemegang amanah, bila kita jual aset dan harta Umno kena masuk akaun Umno lah, ” katanya katanya di Bachok, Kelantan, hari ini.

Hasparuddin berkata, penjualan itu berlaku pada 16 Mac 2021 ketika beliau masih memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda Umno Bachok.

Tambah beliau lagi, pihaknya juga turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tengah hari tadi.

Katanya, laporan itu dibuat bagi SPRM menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaannya. – Malaysiapost

Komen