Isu telur: Ka Siong tak gentar ugutan

Isu telur: Ka Siong tak gentar ugutan

AHLI Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, sekali lagi menegaskan isu telur import yang dibangkitkannya di Dewan Rakyat adalah haknya sebagai wakil rakyat dalam menyuarakan masalah rakyat.

Beliau yang juga Presiden MCA dan bekas Menteri Pengangkutan itu, berkata tidak akan gentar dengan apa juga ugutan yang diterimanya susulan membangkitkan isu rakyat.

Ka Siong mengulas mengenai dakwaannya yang menerima panggilan telefon daripada seorang individu bernama ‘Deepak’ pada 13 Mac lalu.

Menurutnya, lelaki terbabit mendakwa sudah berbincang dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk beliau memperbetulkan kenyataan mengenai isu telur import dan menyelesaikannya di luar mahkamah.

“Lagi sekali saya tegaskan, saya akan terus menjadi jurucakap rakyat tanpa gentar dengan apa juga ugutan,” katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen hari ini.

Beliau turut merujuk kepada kenyataan daripada ahli perniagaan Deepak Jaikishan, semalam yang menafikan membuat panggilan telefon berkenaan.

Justeru beliau menggesa Deepak agar membuat laporan polis jika merasakan ada individu lain yang menyamar dan menggunakan namanya, serta beliau bersedia untuk bekerjasama membantu siasatan kes berkenaan.

Ka Siong mendedahkan beliau menerima dua kali panggilan telefon daripada individu mengaku sebagai Deepak itu dan mempunyai bukti menerima panggilan terbabit.

“Saya bersedia bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan akan mendedahkan segala bukti yang ada. Biarlah PDRM menyiasat perkara ini termasuk mendapatkan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta syarikat telekomunikasi untuk mencari identiti Deepak,” katanya.

Sementara itu, menjawab dakwaan bahawa beliau dilihat bertindak seolah-olah seperti Ahli Parlimen pembangkang dan menghentam kerajaan, Ka Siong menegaskan tindakannya itu adalah bagi tujuan semak dan imbang pentadbiran kerajaan.

“Walaupun anda menyokong kerajaan, ia tidak bermakna anda akan menerima 100 peratus polisi kerajaan. Sebagai Ahli Parlimen saya terikat untuk menjalankan tugas semak dan imbang bagi sebarang ruang penambahbaikan.

“Saya rasa, sebagai sebuah parti (MCA) yang menyokong Kerajaan Perpaduan, ini adalah tanggungjawab saya (semak dan imbang),” katanya. – Malaysiapost

Komen