KPT tawar Menu Siswa Rahmah serendah RM3.50 pada pelajar
MENU Siswa Rahmah kini mula ditawarkan di 20 universiti awam seluruh negara serta politeknik di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan harga serendah RM3.50.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata inisiatif yang diperkenalkan itu sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 320,000 pelajar universiti awam daripada kumpulan keluarga B40.
“Di peringkat universiti awam, memang mendapat sokongan dan telah pun ada usaha membantu pelajar miskin terutama golongan B40 supaya mereka tidak terjejas sepanjang melanjutkan pengajian mereka disebabkan kesusahan dan keperitan hidup.
“Jadi hari ini (semalam) KPT telah mendapat komitmen penyertaan daripada semua 20 universiti dan politeknik yang mana melibatkan 235 gerai dengan pelbagai menu dengan harga RM3.50,” katanya di Univerasiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini.

Mohamed Khaled berkata, menu tersebut lebih rendah daripada Menu Rahmah yang berharga RM5 dengan pihak universiti membantu dari segi tidak mengenakan kos sewaan kepada peniaga.
“Jadi ia (kos) diserap. Dengan tidak mengutip sewa dapat mengurangkan harga makanan dan minuman untuk dijual kepada pelajar dengan harga RM3.50.
“Ini yang kita bezakan dan panggil Menu Siswa Rahmah,” katanya.
Menu Rahmah mula diperkenalkan Kerajaan Perpaduan pada Febuari lalu dengan menawarkan hidangan berkhasiat tengah hari dan malam pada harga RM5 sepinggan.
Matlamat Menu Rahmah adalah untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat. – Malaysiapost