Mahkamah perintah Ahli Parlimen Kepong bayar ganti rugi RM2 juta
MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur membenarkan tuntutan saman finah oleh syarikat e-dagang MonSpace (M) Sdn Bhd dan pengasasnya Datuk Seri Jessy Lai terhadap Lim Lip Eng dan memerintahkan Ahli Parlimen Kepong itu membayar ganti rugi keseluruhan berjumlah RM2 juta.
Saman fitnah itu difailkan pada Jun 2019, di mana Jessie dan MonSpace mendakwa Lim membuat kenyataan fitnah terhadap mereka yang diterbitkan dalam akhbar bahasa Inggeris dan Cina, yang membayangkan mereka menjalankan perniagaan haram dan menipu pelabur China.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir membenarkan tuntutan saman itu dan memutuskan Jessy serta MonSpace selaku plaintif pertama dan kedua berjaya membuktikan tuntutan terhadap Lim, oleh itu menurut hakim mereka berhak mendapatkan permohonan maaf dan juga ganti rugi.
Oleh itu, Lim diperintah membayar ganti rugi sebanyak RM500,000 kepada Jessy dan RM1 juta kepada MonSpace dan juga ganti rugi teruk RM500,000 dibayar kepada kedua-dua plaintif, selain perlu memohon maaf secara terbuka melalui akhbar dan media sosial dalam tempoh tujuh hari selepas penghakiman dimuktamadkan.
Dalam keputusan melalui prosiding Zoom itu, mahkamah berkata, Lim tidak menafikan membuat kenyataan itu yang membayangkan plaintif memberikan rasuah kepada pegawai kanan kerajaan dan menjalankan aktiviti haram serta menipu pelabur China.
Menurut mahkamah, kenyataan terbabit mencemarkan nama baik Jessy dan MonSpace dan menjatuhkan reputasi mereka.
Dalam saman itu, plaintif mendakwa, Lim membuat kenyataan fitnah pada Mei 2017 dan November 2018 apabila beliau membawa sekumpulan individu, yang dikatakan pelabur MonSpace, ke pejabat Jessy dan kemudian membuat laporan polis terhadapnya.
Dakwa plaintif, kenyataan itu memberi tekanan kepada pihak berkuasa, termasuk polis, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), untuk mengambil tindakan terhadap mereka. – Malaysiapost