‘MN kini sudah patah kedua-dua kaki’ – Zahid
PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan Muafakat Nasional (MN) masih ada namun sama ada ia mampu ‘hidup’ atau sebaliknya, bergantung kepada kekuatan ‘kakinya’ yang telah patah.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, berkata Umno akan terus mengambil sikap ‘husnuzon’ iaitu bersangka baik terhadap pakatan berkenaan.
Katanya, Umno perlu sentiasa bersangka baik kerana apa sahaja boleh berlaku dalam politik, namun pada masa ini pihaknya hanya mahu memfokuskan kepada usaha mengukuhkan Kerajaan Perpaduan.
“Dalam pakatan besar ini, terdapat 20 parti politik dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Yang penting kukuhkan ini dahulu.
“Soal MN bergantung kepada siapa yang akan memimpin parti, yang ambil jalan untuk ‘mufarakah’ (keluar), tapi mungkin jika ada pertukaran pemimpin, hala tuju akan berubah,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini MN yang dibentuk pada 2019 melibatkan kerjasama atara Umno dan PAS.
“Ia masih di air tapi sama ada masih timbul atau tenggelam bergantung kepada kekuatan kakinya yang telah patah. Dulu patah sebelah, sekarang patah satu lagi.
“Namun dalam situasi yang sekarang saya tidak nampak bila mana-mana itik yang patah kaki harus kita sambung kakinya untuk berenang, biarlah dia berenang ke lautan luas dan terbang walaupun kepaknya patah,” katanya.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Januari tahun lalu secara sinis menggelar Umno sebagai itik patah kaki yang apabila gagal dalam PRU14 tetapi terbang meninggalkan PAS apabila sudah sembuh.
MN adalah gabungan kerjasama PAS dan Umno yang dicetuskan hasil piagam MN yang dimeterai pada 2019.
Piagam MN itu dimeterai Umno dan PAS antara lain bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata pada masa ini pihaknya akan terus mengambil pendekatan berfikiran secara progresif demi kepentingan ummah. – Malaysiapost