Mohammad Sollehin kini Ketua Penerangan Pemuda Umno yang baharu
PENGARAH Strategik Pemuda Umno Negeri Perak, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie, kini dilantik sebagai Ketua Penerangan Pemuda Umno Malaysia yang baharu bagi sesi 2023-2026.
Pelantikan itu diumumkan oleh Ketua Pemuda Umno Malaysia Dr Muhamad Akmal Saleh dan berharap lantikan berkenaan dapat membantu memberi nafas baru untuk sayap parti itu.
“Moga dengan lantikan ini akan membantu Pemuda Umno Malaysia menjadi lebih berdaya saing dan memberikan satu pengharapan baru untuk parti keramat ini,” katanya.
Mohammad Sollehin juga adalah penyandang Ketua Pemuda Umno Bukit Gantang dan pada pemilihan kali ini beliau bertanding bagi merebut jawatan Ketua Umno Bahagian BUKIT Gantang.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada November lalu, Mohammad Sollehin turut bertanding bagi kerusi Parlimen Bukit Gantang, beliau bagaimanapun tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dalam perlawanan empat penjuru.
Beliau memperoleh 19,869 undi berbanding Syed Abu Hussin yang mendapat 32,625 undi, manakala calon Pakatan Harapan (PH) mendapat 18,565 undi dan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Mohd Shukri Mohd Yusoff hanya beroleh 508 undi.- Malaysiapost