MSN perkukuh kebajikan, kesejahteraan kanak-kanak – Zahid

MSN perkukuh kebajikan, kesejahteraan kanak-kanak – Zahid

KEBAJIKAN dan kesejahteraan kanak-kanak diperkukuhkan melalui penubuhan Majlis Sosial Negara (MSN), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, MSN ditubuhkan sebagai jentera pelaksana Dasar Sosial Negara yang merupakan dasar payung merangkumi falsafah dan pelbagai dasar pembangunan sosial negara.

Ahmad Zahid berkata, dalam mesyuarat MSN hari ini, beliau telah menyarankan ahli-ahli mesyuarat untuk satu penyelarasan semula langkah pelaksanaan dan implementasi secara menyeluruh.

Beliau berkata, penyelarasan itu dibuat agar dapat mengelakkan pertindihan fungsi, pembaziran sumber serta budaya kerja secara silo atau bekerja dalam komuniti sendiri.

“Isu pertama melibatkan masalah beban berganda malpemakanan merupakan satu isu sosial yang memerlukan gandingan Kerajaan, industri dan komuniti.

“Justeru, mesyuarat bersetuju untuk melakukan kerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan bagi mengukuhkan program memerangi masalah beban berganda malpemakanan kanak-kanak di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Terdahulu beliau hadir dalam mesyuarat MSN di Bangunan Parlimen Malaysia yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Ahmad Zahid berkata, isu kedua yang dibincangkan adalah membabitkan isu kecuaian, pengabaian dan penderaan bayi serta kanak-kanak oleh pengasuh yang kerap berlaku.

“Justeru, mesyuarat bersetuju untuk memastikan proses pendaftaran taska/tabika/pusat jagaan supaya ia sentiasa mematuhi peruntukan dan peraturan undang-undang berkaitan tanpa kompromi isu kurikulum, silibus, keselamatan dan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata, isu ketiga pula membincangkan tentang bilangan kes orang papa yang diselamatkan semasa operasi yang semakin meningkat berbanding dengan bilangan kes berdikari selepas diselamatkan.

“Mesyuarat bersetuju untuk menilai semula mekanisme pengoperasian dan hala tuju dalam menangani isu gelandangan supaya kesejahteraan hidup dapat ditingkatkan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berharap isu-isu sosial juga dapat dibincangkan MSN secara aktif dan berkesan serta dapat diperluas untuk melibatkan semua agensi kerajaan, ahli akademik, dan badan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, ia bagi menangani masalah sosial ke arah pembangunan sosial negara yang lebih sejahtera. – Malaysiapost

Komen