Penyokong LGBT usah berlindung bawah hak kebebasan bersuara, berhimpun
GOLONGAN yang menyokong ideologi Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) tidak wajar berlindung di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan atas nama hak kebebasan bersuara dan berhimpun.
Bekas Menteri Agama, Datuk Idris Ahmad berkata, ini kerana Perlembagaan sendiri telah meletakkan had dan batasan kepada kebebasan yang diperuntukkan terutama apabila ia menyentuh isu sensitif atau yang boleh menimbulkan fitnah, hasutan, salah faham dan ketegangan masyarakat.
“Justeru, penguatkuasaan tegas perlu diambil kepada pihak yang menyalah gunakan hak untuk berhimpun bagi mengangkat agenda LGBT di bawah peruntukan undang-undang sedia ada seperti Akta Hasutan, Akta Perhimpunan Aman dan Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan),” Katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau yang Ketua Portfolio Agama, Sosio Budaya dan Generasi Muda Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) berkata, perkembangan yang berlaku dalam negara beberapa tahun kebelakangan ini sangat merisaukan.
Beliau berkata, ia dapat dilihat kepada tindakan sesetengah pihak yang tekal memperjuangkan hak dan kesamarataan golongan LGBT dalam negara untuk mengikis sensitiviti masyarakat.
Katanya, Kerajaan PN sebelum ini telah meletakkan batu asas yang jelas dengan penubuhan Jawatankuasa Bertindak (Taskforce) Pasukan Petugas bagi menangani perkembangan budaya LGBT dalam negara ini.
“Kajian terhadap Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 telah dimulakan bagi memastikan tindakan yang sewajarnya dapat diambil terhadap golongan ini.
“Usaha telah dimulakan kerajaan dahulu dan perlu diteruskan kerajaan hari ini bagi memastikan kerangka perundangan yang bersifat komprehensif dalam mengekang aktiviti mempromosi LGBT, dan tidak terhad kepada kesalahan-luar tabii di bawah Seksyen 377A hingga D Kanun Keseksaan, dan kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri-negeri sahaja
“Pada masa sama, program-program bimbingan dan advokasi juga perlu terus diperkasakan oleh kerajaan hari ini,” katanya.
Justeru, PN mengharapkan kerajaan tidak tunduk kepada desakan pihak yang ingin menghentikan program tersebut dengan menggambarkannya sebagai amalan terapi pertukaran dari Barat.
“Program-program susulan dan sokongan seperti usrah, kelas pengajian dan modal awal perniagaan untuk ekonomi sara hidup sama ada melalui inisiatif komuniti sendiri atau agensi kerajaan perlu terus diperbanyakkan.
“Langkah mengekang promosi ideologi LGBT perlu dilakukan secara berterusan dan tegas untuk memastikan ianya tidak tersebar dan menular dalam masyarakat.
“Serta dalam masa yang sama memberikan amaran kepada kelompok yang berterusan menyentuh isu-isu berkaitan sensitiviti umat Islam di Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Idris berkata, sehingga Mac 2022, jumlah peserta Mukhayyam untuk komuniti LGBT telah pun mencecah sehingga 1,769 orang.
“Kita seharusnya menyediakan satu tembok yang kukuh bagi membentengi kemasukan budaya yang merosakkan keharmonian masyarakat,” katanya. – Malaysiapost