PH-BN runding agihan kerusi PRN Ahad ini
AGIHAN kerusi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang bakal diadakan tidak lama lagi akan dibincangkan dalam mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, Ahad ini.
Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata mesyuarat itu akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Hal itu akan dilaporkan pada mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada 19 Mac ini. Akan ada laporan mengenai tiga perkara.
“Pertama, Jawatankuasa Pemantauan Dasar dan Polisi, kedua Jawatankuasa Perundingan Kerusi dan ketiga Jawatankuasa Mobilisasi dan Komunikasi,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR yang turut disiarkan secara langsung di laman Facebook PKR, hari ini.
Saifuddin Nasution berkata, beliau turut dimaklumkan oleh ketua sekretariat terbabit, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa ketiga-tiga laporan itu, akan dibentangkan pada mesyuarat berkenaan.
Ditanya mengenai agihan kerusi, beliau berkata, di peringkat PH, mereka menggunakan formula penyandang kerusi kepunyaan parti yang menang.
“Keduanya, kita akan melihat dari segi prestasi pilihan raya lalu iaitu aspek ‘winnability’ (boleh menang).
“Ketiga, ialah ruang untuk kita teruskan rundingan dengan Umno dan Barisan Nasional (BN), jadi parameter itu sedikit berbeza dan apa yang penting kerusi penyandang itu jelas, berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14),” katanya.
Beliau berkata, strategi perundingan kerusi sangat bergantung kepada ketiga-tiga faktor berkenaan terutama rundingan dengan Umno dan BN.
“Coraknya sangat jelas, tak susah untuk kita teruskan perundingan kerana kita tahu kekuatan dan sempadan masing-masing,” katanya. – Malaysiapost