PRN: Kebangkitan pengundi muda akan kekal memihak PN – Hadi

PRN: Kebangkitan pengundi muda akan kekal memihak PN – Hadi

PERIKATAN Nasional (PN) yakin gelombang pengundi muda yang menyokong gabungan itu akan terus kekal menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata majoriti pengundi muda ketika ini menyokong PN terutama PAS dan perkara itu dapat disaksikan dalam kemenangan besar di beberapa negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

“Apa yang menarik kemenangan kita berlaku dengan gelombang pengundi-pengundi muda. Majoriti anak muda menyokong Perikatan Nasional khususnya PAS.

“Sehingga kita menguasai banyak kerusi di negeri-negeri yang kita tidak sangka menang selepas (penguasaan) di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“(Malah) kita berjaya menawan Perlis dan mendominasi Perak dan Pahang (dengan) kerusi paling besar,” katanya dalam rakaman video ceramah PN, di Facebooknya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata disebabkan ‘ketakutan’ pihak tertentu dengan kebangkitan PN dan PAS khususnya, menyebabkan Umno enggan bergabung dengan parti itu.

“Tetapi oleh kerana parti lain yang ketakutan tak mahu bergabung dengan PAS (selepas PRU15). Ada yang kata PAS nak membunuh dia (Umno), bila masa PAS nak bunuh dia? Umno kata kalau bergabung dengan PAS, PAS akan bunuh Umno.

“Perjuangan kita nak perkasakan Islam bukan nak bunuh orang. Marilah bersama-sama dengan kita,” katanya.

Pada 22 Febuari lalu, enam negeri sepakat membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada dua minggu terakhir Jun depan bagi memberi laluan kepada PRN.

Negeri-negeri berkenaan ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, dan Terengganu.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dilapor berkata, kata sepakat itu dicapai menerusi mesyuarat antara Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri-negeri terbabit, baru-baru ini. – Malaysiapost

Komen