Program lawat rumah ibadat agama lain tidak harus disekat – Muda
PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berpendapat program antara agama dan aktiviti melawat rumah ibadat agama lain tidak seharusnya disekat, sebaliknya diraikan.
Ketua Penerangannya, Luqman Long turut mempersoalkan tindakan kerajaan negeri Selangor yang melarang program melibatkan umat Islam di rumah ibadat agama lain.
Beliau yang juga pengasas bersama Muda percaya, keputusan itu adalah tidak relevan dan tidak sedikitpun membantu masyarakat berbilang agama dan bangsa untuk hidup harmoni.
“Muda sendiri banyak kali mengadakan program untuk semua ahli termasuklah sambutan Pongal, Hari Raya Aidiliftri, Maulidur Rasul, Hari Natal, membuka Thaneer Panthal untuk sambutan Thaipusam, Tahun Baru Cina. Ia disertai oleh semua ahli Muda – tak kiralah Muslim atau bukan Muslim.
“Ada juga ahli Muda bukan Muslim yang datang membersihkan surau dan masjid di kawasan banjir.
“Jadi apabila ada larangan untuk orang berlainan kepercayaan untuk melawat rumah ibadat yang lain, saya menjadi sangat risau kerana sudah sekian lama, tidak pernah ada masalah pun apabila rakyat meraikan kerencaman rakyat yang lain,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Luqman mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal negeri Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang menegaskan kerajaan negeri melarang program melibatkan umat Islam di rumah ibadat agama lain.
Mohd Zawawi dalam satu kenyataan semalam, berkata program sedemikian perlu mengikut garis panduan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan tindakan boleh diambil terhadap individu yang melanggar peraturan di bawah Seksyen 5 dan 6 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam).
Mengulas lanjut, Luqman berpendapat tiada masalah untuk program seumpama itu dijalankan asalkan bersandarkan kepada prinsip kesopanan dan kesusilaan.
“Asalkan semua ini berjalan dengan sivil, aman dan bersandarkan kepada prinsip Kesopanan dan Kesusilaan – bagi saya tidak ada masalah sedikitpun,” katanya. – Malaysiapost