Sarawak tuan rumah SUKMA 2024

Sarawak tuan rumah SUKMA 2024

JAWATANKUASA Tertinggi Sukan Malaysia bersetuju memperkenalkan sistem penggiliran tuan rumah bagi Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) secara berselang seli setiap dua tahun antara negeri-negeri dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa berkenaan hari ini, berkata bagi permulaan penggiliran itu, Sarawak telah dipilih selaku tuan rumah SUKMA 2024.

“Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (SUKMA) dalam mesyuarat hari ini telah secara rasmi bersetuju memilih Sarawak sebagai tuan rumah SUKMA edisi seterusnya yang dijadualkan berlangsung pada 2024.

“Pemilihan Sarawak selaku tuan rumah adalah berpandukan kepada persetujuan ahli-ahli untuk memperkenalkan sistem penggiliran secara selang seli setiap dua tahun antara MSN dan negeri-negeri.

“Selepas giliran Sarawak selaku tuan rumah edisi SUKMA 2024, temasya SUKMA pada 2026 akan dianjurkan oleh MSN. Kelantan pula telah bersetuju untuk menerima tanggungjawab selaku tuan rumah SUKMA 2028 untuk memberikan mereka tempoh persiapan yang lebih panjang,” katanya dalam sidang media di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini.

Beliau berkata, rasional sistem penggiliran ini adalah bertujuan untuk mengurangkan beban kerajaan persekutuan bagi memberikan bantuan kewangan kepada negeri-negeri yang membabitkan peruntukan pembinaan dan naik taraf infrastruktur sukan, kos penganjuran dan juga pembiayaan program persediaan atlit-atlit diperingkat negeri.

Hannah berkata, jawatankuasa berkenaan juga telah meluluskan cadangan supaya 28 jenis sukan wajib dipertandingkan bermula temasya SUKMA 2024.

“Sarawak selaku tuan rumah SUKMA 2024 juga diberi pilihan memasukkan beberapa sukan tambahan dan telah memutuskan untuk menyenaraikan empat jenis sukan tambahan iaitu tinju, Muay Thai, petong dan sukan elektronik (e-sports).

“Temasya SUKMA 2024 juga tertakluk kepada jumlah minimum penyertaan enam negeri,” katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa turut bersetuju untuk MSN mengadakan beberapa sesi libat urus bersama persatuan-persatuan sukan kebangsaan dan pemegang taruh yang berkaitan bagi mengkaji kemungkinan membuka penyertaan kepada lebih banyak jenis sukan untuk dipertandingkan bagi edisi SUKMA pada masa hadapan.

“Kita ucapkan terima kasih kepada Sarawak yang bersedia menganjurkan SUKMA 2024,” katanya. – Malaysiapost

Komen