Selepas dilepaskan, Datuk Roy ditahan semula petang tadi

Selepas dilepaskan, Datuk Roy ditahan semula petang tadi

SEORANG individu dikenali sebagai Datuk Roy yang dilepaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi tadi, ditahan semula di pejabat SPRM Kuala Lumpur, jam 3.45 petang tadi.

Difahamkan, lelaki berusia 54 tahun itu akan direman di Mahkamah Putrajaya esok, selepas dilepaskan oleh Majistret Kuala Lumpur, Noorelynna Hanim Abd Halim, kerana pihak SPRM tidak mengemukakan permohonan untuk lanjutan reman.

Majistret memerintahkan Datuk Roy direman tiga hari berakhir hari ini, bagi membantu siasatan berhubung Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Sementara itu, peguam bela lelaki itu, Fahmi Abd Moin, mengesahkan anak guam sudah dilepaskan dengan jaminan, namun ditangkap semula oleh SPRM Putrajaya untuk membantu siasatan kes lain.

“Lanjutan reman akan dimohon esok,” katanya memetik Harian Metro.

Datuk Roy ditahan kali pertama ketika hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009, di pejabat SPRM Kuala Lumpur, pada jam 3 petang Isnin lalu.

Sebelum ini, Datuk Roy diburu SPRM kerana didakwa menjadi perancang utama dalam siasatan kes meminta dan menerima rasuah RM400,000 bagi mengelakkan siasatan membabitkan program Jana Wibawa.

Empat individu termasuk seorang pegawai SPRM ditahan, namun kemudian dibebaskan dengan jaminan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berkenaan atas tujuan sama.

Datuk Roy yang beralamat di Kuantan, Pahang, pernah dipenjara kerana terbabit kes rasuah. – Malaysiapost

Komen