Sistem idMe, MOEIS akan diteruskan,namun ditambahbaik – Fadhlina
KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran terma dan syarat yang telah ditetapkan kepada syarikat pelaksana Sistem Pengurusan IDentiti (idMe), Sistem Bersepadu KPM (MOEIS).
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, berkata ia susulan gangguan capaian pada sistem berkenaan yang mula berlaku pada 19 Januari lalu hingga menyukarkan guru memasukkan data dalam Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu (SPPB).
Beliau menegaskan, KPM juga bersedia dan terbuka untuk sebarang inkuiri integriti dan audit teknikal dalaman sekiranya terdapat dakwaan berhubung pelanggaran tatacara pelaksanaan sistem berkenaan.
“KPM menyedari bahawa terdapat gangguan capaian pada sistem idMe MOEIS. KPM mengesan gangguan mula berlaku pada 19 Januari 2023 disebabkan isu teknikal dan isu penggunaan sistem.
“Isu tersebut telah diselesaikan pada 11 Februari 2023. Prestasi sistem terus dipantau bagi memastikan ia sentiasa beroperasi dengan baik bagi meminimumkan gangguan capaian.
“KPM telah mengenal pasti punca masalah kepada keseluruhan sistem ini dengan mengambil kira pengurusan sistem secara keseluruhan serta kompetensi personel bagi memantapkan lagi pelaksanaan sistem tersebut,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang meminta beliau menyatakan sama ada KPM akan melakukan teknikal audit ke atas sistem idMe dan MOEIS yang sering mengalami gangguan teknikal.
Ahli Parlimen berkenaan turut meminta kementerian menyatakan kos perbelanjaan bagi pembangunan sistem berkenaan, selain tindakan yang akan diambil oleh KPM terhadap syarikat vendor yang gagal.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal, memaklumkan pihak KPM akan bekerjasama dengan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) bagi pelaksanaan audit teknikal sistem berkenaan.
“Hasil audit ini bagi menambahbaik sistem sedia ada dan dalam perancangan sistem KPM yang akan datang. Kita jangkakan audit ini akan dilaksanakan pada suku kedua tahun 2023,” katanya.
Menurutnya, bagi kos pembangunan sistem berkenaan pula, nilai kontrak bagi perolehan idMe adalah sebanyak RM454,000, manakala SPPB adalah RM1.05 juta.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) yang bertanya sama ada KPM akan menghentikan sistem berkenaan yang dilihat menambah beban guru, Fadhlina menjelaskan setakat ini ia akan diteruskan, namun akan ditambah baik.
Terdahulu beliau turut memaklumkan, sehingga hari ini, secara keseluruhan, 89 peratus sekolah di seluruh negara telah selesai memasukkan data dalam SPPB di bawah MOEIS melalui idMe.
Menurutnya, bakinya mempunyai pilihan untuk memasuki data samada melalui SPPB ataupun secara luar talian.
“Walaupun diberi pilihan, terdapat tiga negeri yang menggunakan SPPB 100 peratus iaitu negeri Kelantan, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, manakala negeri Perlis mencapai 99 peratus pengisian ke dalam sistem tersebut,” katanya. – Malaysiapost