Sultan Johor harap kerajaan pusat salur peruntukan khas pasca banjir
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, bertitah berharap kerajaan pusat akan memberikan peruntukan khas bagi membaik pulih infrastruktur awam yang rosak serta harta benda yang musnah dalam bencana banjir yang melanda Johor, baru-baru ini.
Baginda turut bertitah menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan pusat di atas peruntukan kewangan yang diluluskan sebelum ini bagi meringankan beban mangsa banjir, serta meluluskan projek tebatan banjir di Kota Tinggi, Segamat dan Batu Pahat yang akan dilaksanakan segera.
“Selepas bencana ini berakhir, saya harap kerajaan pusat akan memberikan peruntukan khas untuk membaik pulih infrastruktur awam yang telah rosak dan harta benda yang telah musnah.
“Saya juga menyeru kepada orang ramai untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir agar mereka dapat membaiki rumah yang telah rosak dan menggantukan perabot dan alatan rumah yang telah musnah,” titahnya.
Baginda bertitah demikian pada titah Pembukaan Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Ibrahim, dan Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Ibrahim.
Baginda bertitah, sejak dua minggu lalu, Johor ditimpa banjir besar dan sehingga hari ini masih terdapat banyak kawasan belum pulih sepenuhnya terutama di Batu Pahat.
“Saya ingin menzahirkan rasa sedih dan simpati terhadap rakyat yang terpaksa berhadapan musibah ini.
“Secara keseluruhan, bencana kali ini merekodkan seramai 74,453 mangsa daripada 26,376 keluarga melibatkan sebanyak 379 pusat pemindahan sementara,” titahnya. – Malaysiapost