108,000 hektar hutan simpan kekal di Selangor perlu dipelihara – Sultan Selangor

108,000 hektar hutan simpan kekal di Selangor perlu dipelihara – Sultan Selangor

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan agar nama hutan simpan Taman Warisan Negeri Selangor dinamakan semula sebagai Hutan Warisan Diraja Negeri Selangor, ketika dilancarkan secara rasmi pada bulan Ogos nanti.

Dalam satu kenyataan di laman Facebook Selangor Royal Office hari ini, Baginda turut bertitah agar kawasan hutan simpan kekal di Selangor yang berkeluasan 108,000 hektar itu terus dipelihara.

Baginda turut mencadangkan kerajaan negeri melanjutkan tempoh dasar pembalakan pemantauan, yang kini ditetapkan selama 25 tahun, untuk tidak membenarkan sebarang aktiviti pembalakan di dalam hutan simpan kekal sejak 2009.

“Baginda juga telah menitahkan agar Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah yang memiliki ijazah dalam Ekologi dan Biologi Alam Sekitar, untuk memantau rapat usaha mengekalkan persekitaran hijau di Selangor dengan sasaran penanaman tidak kurang 11 juta pokok menjelang 2026.

“Baginda turut berpandangan kerjasama antara Jabatan Perhutanan dan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam usaha-usaha konservasi serta kajian berterusan akan membolehkan kawasan hutan simpan kekal ini dimanfaatkan ke arah memelihara warisan geologi, budaya dan biologi sebagai Geopark Kebangsaan yang ketujuh di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, baginda berkenan menerima menghadap Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) baharu Azhar Ahmad dan bekas pengarah Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Turut berkenan berangkat Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Pada pertemuan itu, Sultan Selangor disembah maklum mengenai perkembangan terkini usaha pembangunan dan penggazetan kawasan rizab hutan simpan Taman Warisan Negeri Selangor menerusi Pelan Induk 2023-2032. – Malaysiapost

Komen