2 dicekup, dadah bernilai hampir RM850,000 dirampas

2 dicekup, dadah bernilai hampir RM850,000 dirampas

POLIS Johor berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang beroperasi sekitar bandar raya Johor Bahru sejak Disember lalu, susulan penahanan dua individu dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM850,000.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata kejayaan itu hasil empat serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor bermula jam 5 petang hingga jam 9 malam Selasa lalu.

Menurutnya, dua suspek lelaki tempatan berusia 32 dan 38 tahun, ditahan dalam serbuan di sebuah rumah sewa di Taman Johor Jaya.

“Sindiket ini menggunakan modus operandi yang biasa kita dengar dalam siri tangkapan sebelum ini, iaitu menjadikan rumah berpagar dan berpengawal sebagai stor untuk menyimpan dadah.

“Mereka akan membungkus semula bekalan dadah ini ke dalam bungkusan yang lebih kecil sebelum diedarkan ke pasaran tempatan terutamanya di pusat-pusat hiburan.

“Melihat kepada dadah dirampas, sindiket ini mungkin mengedar apa sahaja jenis dadah malah, menjualnya pada harga antara RM150 hingga RM350 sepaket kecil,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Beliau berkata, dadah yang dirampas bernilai RM849,192 membabitkan 21.27 kilogram (kg) syabu’ 727 gram serbuk ekstasi, 554 gram ketamin, 110 biji (40.3 gram) pil ekstasi, 48 biji (14 gram) pil Erimin 5 dan 56.3 gram ‘Magic Mushroom’.

Menurutnya, selain dadah pihaknya turut merampas kenderaan dan wang tunai dengan nilai sitaan RM160,430.

“Bekalan dadah ini dipercayai diperoleh dari negara Segi Tiga Emas sebelum diseludup ke dalam negara dan ia boleh digunakan 111,888 penagih,” katanya.

Menurutnya, tiga kenderaan yang disita ialah Toyota Vellfire, Proton Saga dan sebuah motosikal, selain jam tangan dan wang tunai RM1,730.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati seorang daripada suspek positif ketamin dan mereka tiada rekod kesalahan lampau.

“Suspek kini direman sehingga Selasa depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Malaysiapost

Komen