Belajar daripada Tun Razak noktahkan ancaman Parti Komunis Malaya
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad
DALAM Perjumpaan Tertinggi parti-parti sedunia bersama Parti Komunis China (PKC) yang diadakan baru-baru ini. Kerajaan China menzahirkan keinginan untuk memperkukuhkan hubungan antara setiap negara yang terlibat.
Menariknya, Malaysia dilihat sebagai antara negara utama untuk turut berada dalam inisiatif ini atas dasar memperkukuh hubungan baik antara Malaysia dan China yang dipelopori oleh Almarhum Tun Razak.
Menyoroti langkah bijak almarhum dalam mengekang pengaruh dan kebejatan Parti Komunis Malaya (PKM) dengan menjalinkan hubungan diplomasi dengan China dibawah pemerintahan Parti Komunis China pada tanggal 28 Mei 1974. Ini jelas menunjukkan Almarhum seorang pemimpin yang bijak dalam menyusun strategi.
Mengapa almarhum mengambil langkah berani tersebut? Ini adalah kerana, China dibawah kepimpinan Mao Zedong pada ketika itu dilihat sebagai perintis kepada fahaman dan gerakan Komunis sedunia semasa Perang Dingin (Cold War).
Gerakan-gerakan Komunis di negara-negara Asia Tenggara termasuklah PKM sangat dipengaruhi oleh fahaman Komunis dari China. China ketika itu ‘mengeksport’ revolusi Komunisme ke seluruh dunia termasuk ke Malaysia.
Seperti petua peperangan Sun Tzu: mengalahkan musuh tanpa pertempuran – Almarhum Tun Razak melawan musuh ‘tanpa’ menggunakan senjata sebaliknya pihak musuh dimusnahkan dengan senjata mereka sendiri.
Sebaik sahaja hubungan diplomatik antara Malaysia dan China terjalin secara rasmi, antara persetujuan bersama Kuala Lumpur dan Beijing ialah urusan dalaman kedua-dua negara tidak boleh dicampuri oleh mana-mana pihak.
Memandangkan Malaysia tidak mengiktiraf malah melawan pengganas Parti Komunis Malaya maka ianya adalah urusan dalaman Malaysia dan patut diselesaikan mengikut cara kerajaan Malaysia.
Ketegasan Tun Razak ini diterima oleh pimpinan Parti Komunis China demi mengukuhkan jalinan diplomasi antara kedua-dua buah negara – yang pertama dari Asia Tenggara ketika itu pada 1974.
Maka secara automatiknya, kerajaan China meskipun di perintah oleh Komunis dan pernah membantu Komunis Malaysia kini telah dan akan berpihak kepada kerajaan Malaysia sekali gus membantu Malaysia menoktahkan keganasan PKM!
Adakah usaha ini berhasil? Ya, PKM tidak lagi wujud bahkan kejayaan ini telah menjadi contoh dan pemangkin kepada permulaan hubungan Diplomatik antara negara-negara ASEAN dan China.
Hasil usaha Almarhum Tun Razak ini bukan sahaja telah menyelamatkan Malaysia daripada jatuh ke tangan Komunis bahkan dapat diterjemahkan dengan kepesatan pembangunan ekonomi yang menguntungkan kedua-dua pihak.
Berkawan dengan China bukan bermaksud kita menerima fahaman Komunis. Berkawan dengan Iran bukan bermaksud kita menerima fahaman Syiah dan berkawan dengan Amerika Syarikat bukan bermaksud kita mengiktiraf salah dan silap mereka pada dunia Islam.
Bilamana Tan Sri Abdul Hadi Abdul Awang dan PAS bertegas menentang unsur komunisme dalam politik Malaysia ianya merujuk kepada sejarah keganasan dan pengganas Parti Komunis Malaya yang bercita-cita menjadikan Malaysia sebuah negara Republik – menjatuhkan Raja-Raja Melayu dan Islam.
Saki-baki unsur ini masih ada dalam politik negara cuma mereka bergerak secara halus. Hal ini kami di Perikatan Nasional akan terus tentang habis-habisan termasuk gerakan subversif ‘regime change’ bertopengkan mempromosi demokrasi yang didanai pihak asing dari luar untuk mengubah politik Malaysia yang menjadi ancaman ke atas kedaulatan Melayu dan Islam.
Saya yakin rakyat bijak menilai perkara ini dari neraca akademik dan kaca mata geo-politik antarabangsa.
Akhir kalam, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kedutaan Besar Republik China di Kuala Lumpur atas jemputan ini. Terima kasih, salam perjuangan!
Penulis merupakan Ahli Parlimen Machang dan Ketua Portfolio Kementerian Luar Negeri Ahli Parlimen PN
(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian Malaysiapost)