Boleh bincang dengan MARA jika sukar bayar balik pinjaman – Asyraf Wajdi

Boleh bincang dengan MARA jika sukar bayar balik pinjaman – Asyraf Wajdi

PENGERUSI Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menasihati peminjam yang berdepan kesukaran untuk melunaskan bayaran balik pinjaman supaya berbincang dengan agensi berkenaan.

Beliau berkata, peminjam boleh berhubung dengan MARA untuk berbincang mengenai kaedah pembayaran balik sekiranya benar-benar berada dalam kesusahan.

“Saya sudah berbincang dengan bahagian pembayaran balik pinjaman MARA untuk bersikap ihsan dengan mengadakan perbincangan dengan peminjam-peminjam yang berhadapan dengan kesukaran hidup.

“Masalahnya, ramai juga yang menyepikan diri langsung buat tak tahu sesudah tiba tempoh masa untuk membayar balik,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Asyraf Wajdi memaklumkan, ramai yang menghubunginya mengadu dihubungi pihak MARA atau peguam yang meminta membuat pembayaran balik pinjaman.

“Prinsip asas dalam Muamalah Islam berkaitan pinjaman (qard) adalah jelas bahawa setiap pinjaman yang dilakukan wajib dibayar.

“Namun untuk pemberi pinjaman pula wajar ada sikap ihsan dan bertimbang-rasa. Ini termasuklah memanjangkan tempoh pembayaran balik jika seseorang peminjam itu mengalami kepayahan,” katanya.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, beliau percaya MARA akan sentiasa berlaku ihsan dan bertimbang rasa.

“Saranan saya kepada semua yang bertanya mengenai perihal ini agar berhubung dengan pihak MARA untuk berbincang mengenai kaedah pembayaran balik,” katanya. – Malaysiapost

Komen