Daftar pemilih tambahan kini dibuka untuk semakan – SPR

Daftar pemilih tambahan kini dibuka untuk semakan – SPR

DAFTAR Pemilih Tambahan Bulan Februari Tahun 2023 (DPT BLN2/2023) kini dibuka untuk semakan dalam tempoh 30 hari bermula hari ini hingga 15 April 2023.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata daftar pemilih itu telah diperaku semalam dan diwartakan hari ini.

Menurutnya, DPT BLN2/2023 mengandungi 34,896 nama warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Februari 2023 hingga 28 Februari lalu, yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.

Katanya, sejumlah 10,771 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 4,256 orang pemilih bertukar status atau kategori pengundi.

“SPR menyediakan lima kaedah semakan bagi daftar pemilih tambahan ini iaitu melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my (https://www.spr.gov.my/) atau https://mysprsemak.spr.gov.my (https://mysprsemak.spr.gov.my/) dan portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my (http://ppn.spr.gov.my/).

“Semakan juga boleh dilakukan menerusi aplikasi dalam talian di https://myspr.spr.gov.my (https://myspr.spr.gov.my/), aplikasi mudah alih MySPR Semak dan hotline SPR di talian 03-8892 7018,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menyeru kepada warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Februari 2023 hingga 28 Februari 2023 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka.

“Sekiranya mendapati namanya tidak disenaraikan, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my (https://myspr.spr.gov.my/) atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

“Di samping itu pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya boleh mengisi Borang D melalui pautan yang sama,” katanya.

Menurutnya, Borang C dan Borang D berkenaan juga boleh dimuat turun dari portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan untuk membuat serahan dan membayar fi bantahan.

“Untuk sebarang pertanyaan mengenai urusan semakan DPT BLN2/2023 ini, orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR atau hubungi SPR dan mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri,” katanya. – Malaysiapost

Komen