Dakwaan nafi hak Kelantan tuan rumah SUKMA 2024 sangat tidak bertanggungjawab – MSN

Dakwaan nafi hak Kelantan tuan rumah SUKMA 2024 sangat tidak bertanggungjawab – MSN

MAJLIS Sukan Negara (MSN) menyifatkan dakwaan bahawa negeri Kelantan kononnya dinafikan hak untuk menjadi tuan rumah temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 sebagai sangat tidak bertanggungjawab.

Ketua Pengarahnya Datuk Ahmad Shapawi Ismail, berkata dakwaan tidak benar itu menyimpang daripada hakikat dan iltizam Jawatankuasa Tertinggi SUKMA bagi memastikan semua negeri berpeluang menjadi tuan rumah SUKMA.

“Keputusan supaya Kelantan menjadi tuan rumah SUKMA 2028 adalah demi memberikan masa tambahan kepada kerajaan negeri menyiapkan infrastruktur sukan bagi penganjuran tersebut.

“Keputusan bersama itu dicapai hasil perbincangan di antara saya bersama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Kelantan, Roslan Wan Mahat dan diluluskan oleh Jawatankuasa Tertinggi yang bermesyuarat semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Roslan Wan Mahat turut hadir dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (SUKMA), semalam

Untuk rekod, Kelantan satu-satunya negeri yang belum pernah menganjurkan SUKMA.

Beliau turut mengucapkan penghargaan buat Sarawak yang bersedia menganjurkan SUKMA 2024 berikutan keputusan Johor memulangkan hak tuan rumah SUKMA 2024 kepada MSN.

“Kesediaan Sarawak dapat mengekalkan prinsip penggiliran tuan rumah antara pusat dan negeri dalam menganjurkan temasya Sukan Malaysia ini,” katanya.

Terdahulu Ketua Pemuda Pas Kelantan Mohamad Kamal Mohamed dalam satu kenyataan, hari ini mendakwa Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menafikan hak Kelantan untuk menjadi tuan rumah SUKMA.

Dalam kenyataan di laman Facebooknya, Mohamad Kamal mendakwa Hannah menggunakan kuasa sebagai menteri untuk menafikan giliran Kelantan sebagai tuan rumah SUKMA 2024.

“Sementelah pula Menteri DAP ini yang sememangnya terkenal dengan guna kuasa dalam senyap. Makan dalam.

“Anak muda Kelantan akan catitkan penafian giliran SUKMA ini dalam sejarah politik atas terma kuasa dan penafian hak terhadap Kelantan.

“Untuk kesekian kalinya Kelantan kekal satu-satunya negeri yang tidak pernah diberikan hak menganjurkan SUKMA,” katanya. – Malaysiapost

Komen