KBS tidak nafikan hak Kelantan untuk menjadi tuan rumah SUKMA
MENTERI Belia dan Sukan Hannah Yeoh mendakwa beliau sekali lagi menjadi mangsa fitnah oleh pemimpin Pas dan kali ini membabitkan giliran penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA).
Hannah berkata, fitnah itu dibuat oleh Ketua Pemuda Pas Kelantan Mohamad Kamal Mohamed yang mendakwa beliau dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menafikan hak Kelantan untuk menjadi tuan rumah SUKMA.
“PAS fitnah saya lagi. Kami di KBS tidak menafikan hak Kelantan untuk menjadi tuan rumah Sukma.
“Semalam Exco (Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia) Kelantan bersama saya di KBS dan bersetuju Sarawak tuan rumah SUKMA 2024, Majlis Sukan Negara (MSN) tuan rumah SUKMA 2026 dan Kelantan menjadi tuan rumah SUKMA 2028.
“Kelantan bersetuju menjadi tuan rumah (SUKMA 2028) untuk memberikan mereka tempoh persiapan yang lebih panjang dan infrastruktur perlu masa untuk dibina,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Hannah berkata, susulan itu pihak pejabatnya sudah membuat laporan polis hari ini berhubung fitnah berkenaan.
Terdahulu, Mohamad Kamal dalam satu kenyataan di laman Facebooknya, mendakwa Hannah menggunakan kuasa sebagai menteri untuk menafikan giliran Kelantan sebagai tuan rumah SUKMA.
“Sementelah pula Menteri DAP ini yang sememangnya terkenal dengan guna kuasa dalam senyap. Makan dalam.
“Anak muda Kelantan akan catitkan penafian giliran SUKMA ini dalam sejarah politik atas terma kuasa dan penafian hak terhadap Kelantan.
“Untuk kesekian kalinya Kelantan kekal satu-satunya negeri yang tidak pernah diberikan hak menganjurkan SUKMA,” katanya.
Semalam, Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia bersetuju memperkenalkan sistem penggiliran tuan rumah bagi Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) secara berselang seli setiap dua tahun antara negeri-negeri dan MSN.
Hannah yang mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu, berkata bagi permulaan penggiliran itu, Sarawak telah dipilih selaku tuan rumah SUKMA 2024.
Selepas giliran Sarawak selaku tuan rumah edisi SUKMA 2024, temasya SUKMA pada 2026 akan dianjurkan oleh MSN dan Kelantan pula telah bersetuju untuk menerima tanggungjawab selaku tuan rumah SUKMA 2028. – Malaysiapost