Kerajaan pusat salur peruntukan tambahan RM150 juta untuk pasca banjir di Johor
KERAJAAN Persekutuan akan menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM150 juta bagi projek pasca banjir di negeri Johor, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Kementerian Kewangan (MOF) akan menyegerakan peruntukan itu bagi meringankan beban Kerajaan Negeri dan mangsa-mangsa banjir di Johor.
Menurutnya, Mesyuarat Kabinet juga telah memutuskan agar semua jentera kementerian melibatkan diri dalam program pasca banjir di Johor.
“Kita dapati mangsa banjir (di Johor) mencecah 82,831 mangsa. Manakala, seramai 26,879 mangsa masih berada di 102 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Johor.
“Ada peruntukan tambahan sebanyak RM150 juta daripada MOF yang akan disegerakan, dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah turun dan kenal pasti projek (pasca banjir) bersama Menteri Besar Johor (Datuk Onn Hafiz Ghazi) serta Kerajaan Negeri Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra, di Putrajaya, hari ini.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadhilah Yusof.
Menurut Perdana Menteri, setakat ini seramai 16,167 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir telah menerima bantuan wang ihsan sebanyak RM1,000.
Beliau turut mengajak semua badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), universiti serta sukarelawan dari jabatan kerajaan untuk turun segera bagi mengurangkan beban jentera di Johor.
“Saya telah hubungi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Kerajaan Negeri Selangor untuk berikan bantuan segera.
“Sekarang pasca banjir perlu sukarelawan ramai dan keperluan asas lain serta kemudahan seperti alat penyembur air atau ‘water jet’.
“Semua peralatan tersebut akan ditambah oleh kerajaan,” katanya.
Terdahulu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, bertitah berharap kerajaan pusat akan memberikan peruntukan khas bagi membaik pulih infrastruktur awam yang rosak serta harta benda yang musnah dalam bencana banjir yang melanda Johor.
Baginda bertitah demikian dalam titah Pembukaan Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, semalam. – Malaysiapost