Kes himpunan LGBT dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya

Kes himpunan LGBT dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya

POLIS sudah memanggil tujuh individu untuk memberi keterangan berhubung perhimpunan dan perarakan yang mencetuskan kontroversi di ibu negara, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kertas siasatan kes itu juga sudah disiapkan dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

“Kita sudah rakam keterangan tujuh individu termasuk penganjur perhimpunan berkenaan dan kertas siasatan juga sudah siap dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Media sebelum ini, melaporkan polis akan memanggil pihak yang menyertai perhimpunan dan perarakan di hadapan Kompleks Sogo dan Dataran Merdeka pada 12 Mac lalu bagi membantu siasatan kerana didakwa melanggar undang-undang.

Noor Dellhan dilapor berkata, berdasarkan pemerhatian, ia disertai kira-kira 150 orang termasuk aktivis hak asasi, mahasiswa dan ahli parti politik menyertai perarakan jam 10 pagi terbabit.

Menurutnya, mereka memegang plakad antaranya “Imagine If Men Are As Disgusted With Rape As With Periods, Child Not Pride,Trans Women Are Woman, Police Your Behaviour Not My Body” dan lain-lain.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. – Malaysiapost

Komen