MB Kedah nafi berniat jahat terhadap Anwar
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjawab tuntutan saman fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung ucapan berbaur fitnah dalam satu kempen ceramah ‘Jelajah PN Best Tambun’.
Muhammad Sanusi memfailkan jawapannya melalui pernyataan pembelaan di Mahkamah Tinggi Alor Setar Kedah pada 13 Februari lalu melalui firma guaman yang mewakili beliau, iaitu Tetuan Yusfarizal, Aziz dan Zaid.
Dalam jawapannya terhadap saman berkenaan, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu berkata, beliau tidak pernah berniat jahat untuk menghasut orang ramai dengan cara memfitnah Anwar dengan perkara yang tidak benar.
Menurut Muhammad Sanusi, beliau sekadar memberikan kritikan terhadap Anwar berdasarkan fakta dan latar belakangnya.
Beliau berkata, dalam tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Anwar secara peribadi membuat pelbagai tohmahan ke atas parti lain yang bukan saja dalam bentuk kritikan bahkan mengandungi fitnah dan tuduhan yang ekstrem.
Tambahnya, oleh itu adalah tidak munasabah dan menghairankan untuk Anwar (plaintif) yang suka menuduh dengan kata-kata seperti ‘penyamun’, ‘bodoh’ dan pelbagai lagi tiba-tiba berasa sensitif apabila parti lawan memberikan komen serta kritikan berdasarkan latar belakang beliau yang sudah diketahui umum.
“Plaintif tidak seharusnya menjadi seorang yang mudah tersinggung terutama ketika kempen pilihan raya memandangkan plaintif sendiri bersikap suka menuduh,” katanya.
Muhammad Sanusi selanjutnya menyatakan bahawa ucapannya dalam satu kempen ceramah ‘Jelajah PN Best Tambun’ berdasarkan fakta benar bahawa Anwar dipecat daripada Kabinet dan UMNO pada tahun 1998.
Jelas Muhammad Sanusi, fakta benar juga bahawa wujudnya persepsi dan andaian munasabah dalam kalangan masyarakat akibat daripada keadaan pengampunan yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong terhadap Anwar.
Sementara itu, Anwar yang membalas pernyataan pembelaan berkenaan menegaskan bahawa beliau diampunkan sepenuhnya oleh Yang di-Pertuan Agong.
Tujuan dan kesan utama titah bagi memerintahkan pengampunan diraja itu adalah untuk pemadaman secara penuh dan muktamad semua atau mana-mana keburukan berkenaan pertuduhan jenayah dan sabitan ke atasnya.
Anwar selanjutnya berkata, kesan undang-undang pengampunan diraja itu ialah memadamkan semua sabitan dan hukuman serta menghapuskan kesalahan lampaunya di sisi undang-undang.
Tegasnya, beliau seorang yang tidak bersalah dan sebarang kenyataan lanjut yang dibuat berhubung perkara yang sama adalah fitnah yang boleh diambil tindakan tanpa mengambil kira perkara yang sama kekal dalam rekod kehakiman.
Ujarnya lagi, apa yang penting ialah akibat dan kesan kedudukan undang-undang selepas pemberian pengampunan penuh jika dibandingkan daripada pengampunan bersyarat.
Dalam saman fitnah itu, Anwar berkata pada 13 November tahun lalu, Muhammad Sanusi memberi ucapan pilihan raya bagi menyokong calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dengan ratusan pengunjung menghadiri ceramah berkenaan.
Dakwa Anwar, ucapan dalam ceramah terbabit telah diterbitkan atau menyebabkan penerbitan semula dan disiarkan secara siaran langsung di aplikasi Facebook di bawah nama “Faizal Azumu” yang mendapat tontonan melebihi 88,000 kali, 531 reaksi, 58 kali perkongsian dan 384 komen, pada setakat tarikh pemfailan samannya.
Menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, pada 14 November tahun lalu, kenyataan fitnah daripada video itu telah dipetik oleh MalaysiaKini dan portal itu menerbitkan satu artikel dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris bertajuk “Kes liwat Anwar: Dulu kesian sungguh, sekarang Pas kata kena ‘pikiaq’.
Kata Anwar lagi, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud beliau mendapat pengampunan Diraja melalui penipuan dan kekal tidak diampunkan serta telah memperdaya Yang di-Pertuan Agong, seorang pembohong, tidak boleh dipercayai, tidak beretika dan mengkhianati mandat rakyat. – Malaysiapost