PDRM pantau rapi situasi keselamatan negara
POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memantau rapi situasi keselamatan semasa negara, tegas Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Beliau berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang dikesan mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti agama atau kaum yang menggugat keselamatan serta ketenteraman negara.
“Tahap keselamatan semasa negara adalah terkawal dan PDRM memberikan komitmen untuk memastikan penguatkuasaan undang-undang dilaksana secara berterusan demi memastikan keselamatan kekal terjamin.
“Masyarakat dinasihati agar tidak mengeluarkan atau berkongsi kenyataan-kenyataan yang mampu menjejaskan keharmonian kaum atau membangkitkan kegusaran awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai sebarang tindakan yang boleh menjejaskan keselamatan negara agar menyalurkannya ke balai polis berhampiran untuk tindakan selanjutnya.
Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media selepas Mesyuarat Kabinet hari ini, memberi amaran kepada mana-mana pihak jangan sesekali cuba untuk ‘menghangatkan suhu’ kaum atau agama di negara ini.
Beliau menegaskan kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang usaha adu domba seperti itu.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan pasukan keselamatan berwaspada terhadap sebarang usaha ke arah itu dan ia tidak sama sekali akan diizinkan berlaku.
“Sebarang usaha oleh sesiapa pun, yang cuba mengadu domba, menghangatkan ‘suhu’ kaum atau agama di negara ini tidak akan diizinkan.
“Orang tertentu yang terdesak atau berasa tercabar akan menggunakan sentimen ini.
“Saya dan Jemaah Menteri akan memastikan keamanan dan kedamaian semua kaum dipertahankan dan tidak akan bertolak ansur sedikit pun terhadap usaha yang akan mengganggu gugat keselamatan negara,” katanya. – Malaysiapost