Pemilihan Umno 2023: “Menang bukan untuk bermegah. Kalah bukan untuk berpatah” – Ahmad Shabery
MENJELANG pemilihan Jawatankuasa Umno Bahagian bersama pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, esok, semua perwakilan diingatkan agar membuat pilihan yang terbaik.
Peringatan itu dibuat oleh penyandang Ahli MKT Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dalam satu catatan peribadinya di laman Facebook, hari ini.
Beliau yang tidak akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan kali ini, berkata khidmatnya dalam Majlis Tertinggi (MT) parti kini telah sampai penghujungnya.
“Setelah hampir 15 tahun bersama dalam MT parti, kini sampai penghujungnya. Sepanjang tempoh tersebut ada menyokong saranan. Menghujah perbezaan. Bahkan adakala meminta direkodkan tidak bersama dengan keputusan yang dibuat.
“Paling penting tidak menghebahkan perbezaan itu di luar parti. Ini adat berorganisasi. Sama-sama pertahankan parti waktu senang dan susah,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua calon yang menawarkan diri supaya tidak bermegah jika menang dan calon yang tewas perlu terus bersama parti.
“Semoga yang menawarkan diri dipermudahkan. Menang bukan untuk bermegah. Kalah bukan untuk berpatah.
“Mudahan dibukakan pintu hati lebih 100,000 perwakilan yang mengundi esok membuat pilihan terbaik. Selamat mengundi.
Shabery (tiada nombor),” katanya.
Pemilihan Umno bagi penggal 2023-2026 akan berakhir esok dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Umno Bahagian bersama Pemilihan Ahli MKT Umno.
.
Persaingan merebut jawatan Naib Presiden Umno paling dinantikan dengan melibatkan seramai lapan calon yang menawarkan diri.
Lapan pemimpin itu termasuk dua penyandang iaitu Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Umno Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Selain itu, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Ir Hasni Mohamad; Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said; Ahli MKT, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Hanya seorang penyandang Naib Presiden iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang juga Ahli Parlimen Bera mengesahkan tidak bertanding dalam pemilihan kali ini.
Terdahulu Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno 2023, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, sebanyak 74 pencalonan diterima bagi mengisi 25 jawatan Ahli MKT Umno. – Malaysiapost