Pendakwaan gagal bantah permohonan Guan Eng

Pendakwaan gagal bantah permohonan Guan Eng

PIHAK pendakwaan hari ini gagal dalam bantahan awalnya berhubung permohonan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng supaya dibekalkan dengan dokumen laporan forensik dalam kes rasuahnya.

Guan Eng memohon laporan mengandungi perbualan WhatsApp antara ahli perniagaan, G Gnanaraja dan Pengarah Kewangan dan Perkhidmatan Korporat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Dokumen itu bertujuan untuk digunakan pihak pembelaan bagi menunjukkan kepada mahkamah yang wang terbabit didakwa dibayar kepada Guan Eng melalui Gnanaraja daripada Zarul, adalah tidak benar.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azura Alwi kemudian menetapkan pada 20 Mac ini untuk mendengar merit permohonan terbabit.

Guan Eng sebelum ini didakwa dengan tuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta, dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702.

Dia juga didakwa dengan tuduhan pindaan kedua, iaitu meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek berkenaan.

Selain itu Guan Eng turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat, yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut di negeri itu. – Malaysiapost

Komen