Perlu ada garis panduan ziarah rumah ibadat – Zulkifli

Perlu ada garis panduan ziarah rumah ibadat – Zulkifli

BEKAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, akan mencadangkan garis panduan ziarah ke rumah-rumah ibadat untuk didokumentasikan.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Negara, berkata garis panduan itu bagi menjaga batas-batas sensitiviti yang perlu dihormati untuk memelihara kerukunan yang sedia ada antara rakyat berbilang agama dan bangsa di Malaysia.

“Dengan Islam sebagai agama Persekutuan, saya ingin melihat Malaysia yang lebih harmoni, dalam masa yang sama tidak terlalu longgar dalam pegangan agama masing-masing.

“Saya ingin melihat Malaysia yang lebih toleransi, tetapi tidak menggadaikan prinsip akidah masing-masing,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, toleransi berkenaan mungkin sudah diketahui secara umum, namun setahunya untuk mendapatkan sebuah garis panduan lengkap meliputi semua agama-agama di Malaysia, ia masih belum didokumentasikan.

“Saya akan mulakan dengan cadangan garis panduan ziarah ke rumah-rumah ibadah. Insya-Allah, saya akan kongsikan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau mengulas mengenai program Jom Ziarah gereja anjuran sebuah agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang mendapat kecaman pelbagai pihak ketika ini.

Zulkifli berkata, Malaysia dihormati negara-negara dunia, khususnya dunia Arab dan Islam kerana kepelbagaian agama dan bangsa yang wujud di negara ini.

“Tanpa menafikan sedikit sebanyak isu yang pernah timbul antara agama, kita wajar bersyukur kerana Malaysia masih boleh dikategorikan sebagai negara yang aman, berbanding negara-negara multi agama lain.

“Ya, saya pernah berkunjung ke gereja, tokong, gurdwara, malah pernah bermesyuarat bersama pimpinan tertinggi Gereja Roman Katolik termasuk Paus Francis di Bahrain pada tahun lalu,” katanya yang berkongsi pengalaman. – Malaysiapost

Komen