Permohonan DKD dibuka mulai 23 Mac
PERMOHONAN Dana Kandungan Digital (DKD) bagi industri muzik akan mula dibuka mulai 23 Mac ini.
Permohonan DKD itu boleh dibuat melalui pautan www.mycreative.com.my/dkd.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, penggiat industri muzik boleh membuat permohonan tersebut melalui laman MyCreative Ventures.
Menurutnya, DKD industri muzik diperkenalkan selaras dengan komitmen kerajaan menyemarakkan industri kreatif, seni dan budaya.
“DKD ini akan membuka lebih banyak peluang kepada penggiat seni pasca pandemik Covid-19 untuk menghasilkan karya kreatif berkualiti tinggi yang mampu bersaing di pasaran tempatan selain menembusi pasaran antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.
Fahmi berkata, seramai 13 penerima telah diberi surat setuju terima Dana Persembahan Muzik di bawah inisiatif DKD Industri Muzik Tahun 2022 yang berjumlah RM3.3 juta.
Tiga badan pelesenan iaitu Music Authors Copyright Protection (MACP) Bhd, Public Performance Malaysia (PPM) dan Recording Performances Malaysia (RPM) Bhd turut menerima Pembayaran Skim Pelesenan Hak Cipta Penggunaan Muzik daripada kerajaan berjumlah RM2.18 juta.
Semalam, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) buat julung kalinya menganjurkan sesi dialog awam industri muzik yang disertai lebih 500 pemain dan penggiat industri muzik di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (klpac).
Pemain industri yang menyertai sesi berkenaan ialah artis, penerbit, pengurus, wakil syarikat rakaman, wakil perkhidmatan penstriman muzik serta penganjur acara dari seluruh negara.
Fahmi berkata, dialog awam itu ialah sebagai langkah permulaan menghimpunkan pelbagai golongan peringkat industri untuk mengenal pasti dan membincangkan inisiatif berpotensi dalam memajukan industri muzik negara serta menyelesaikan isu berkaitan.
“KKD tekad membina ekosistem yang kondusif bagi memayungi industri kreatif.
“Kerjasama berterusan dengan pemain dan penggiat industri muzik adalah amat signifikan dalam usaha memacu industri kreatif negara ke tahap yang lebih tinggi,” katanya. – Malaysiapost