Pilih dengan bijaksana, berhati-hati, Khaled ingatkan perwakilan
PERWAKILAN yang akan mengundi dalam pemilihan Umno esok dinasihatkan supaya memilih pemimpin dengan bijaksana dan berhati-hati.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pemilihan kali ini bukan sahaja satu tradisi penting tetapi ia adalah tanggungjawab kritikal yang mempunyai makna dan impak yang besar.
Jelasnya, perwakilan sebenarnya sedang memilih mereka yang akan mengemudi masa depan dan mengambil alih kepimpinan Umno.
“Pilihlah mereka yang benar-benar setia dengan parti. Mereka yang kekal berkhidmat walau pada saat parti dalam keadaan paling terhumban.
“Mereka yang kekal percaya dengan parti walau pada saat masa depannya dilihat suram dan kelam,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Pada pemilihan kali ini, Mohamed Khaled yang juga Menteri Pendidikan Tinggi akan mempertahankan jawatan Naib Presiden yang disandangnya.
Calon yang turut bertanding untuk jawatan tersebut ialah Datuk Seri Mahdzir Khalid (penyandang); Datuk Seri Hasni Mohamad dan Datuk Seri Azalina Othman Said.
Calon lain, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Mohd Yusof Musa.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled menasihatkan perwakilan supaya jangan mengambil mudah tanggungjawab berkenaan atau beranggapan pilihan mereka tidak mempunyai kesan besar lalu mereka boleh memilih secara sambil lewa.
“Sebaliknya, setiap perwakilan mempunyai ruang dan peluang yang mesti dimanfaatkan dengan pertimbangan terbaik.
“Saya serahkan kepada tuan-tuan dan puan-puan untuk berlaku bijaksana dan berhikmah. Selamat memilih dan semoga kejayaan menjadi milik Umno, parti kita dulu, kini dan selamanya,” katanya. – Malaysiapost